KUALA LUMPUR: Seorang bapa hanya mampu menyuruh anaknya mengucap banyak-banyak sebaik mendengar jeritan terakhir anak lelakinya ketika kediaman mereka di Bukit Antarabangsa dilanda tanah runtuh jam 3.30 awal pagi semalam, sebelum remaja itu ditemui mati dihempap konkrit kira-kira tiga jam kemudian.
Jeritan Shaiful Khas Shaharuddin, 20, bagai terngiang-ngiang di telinga Datuk Shaharuddin Adnan, 63, yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah yang turut mengorbankan dua lagi jirannya manakala hingga jam 8 malam semalam, sejumlah dua lagi mangsa belum dijumpai.
Dalam kejadian itu, seorang wanita, Ng Yee Peng, 30, dikatakan ditemui di bawah runtuhan sambil mendakap erat bayinya yang baru berusia tiga bulan manakala seorang lagi wanita, N Yogeswary, 40, terkorban akibat ditimpa siling dan dinding rumah ketika menyelamatkan anak perempuannya, Thidesh, 10.
Menceritakan detik menggerunkan itu, Shaharuddin berkata, kediaman mereka bergegar tiga kali sebelum rumah mereka ranap.
“Gegaran pertama kami kelam kabut kerana kejadian berlaku ketika kami nyenyak tidur jam 3.30 pagi. Apabila berlaku gegaran kedua, Shaiful menjerit bertanya mengapa rumah bergegar.
“Saya jerit minta dia mengucap banyak-banyak, namun tidak lama selepas itu rumah kami runtuh. Sebelum itu talian elektrik terputus dan kami tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur, semalam.
Shaharuddin bersama isteri, Datin Jamilah Mohd Kassim serta anak saudara, No Ain Zaaba, 20, terselamat kerana berjaya mencari jalan keluar melalui runtuhan bumbung rumahnya tanpa mengalami kecederaan.
“Saya berjaya keluar jam 4.30 pagi, manakala No Ain pula 6.30 pagi. Selepas itu, penyelamat yang tiba menghubungi telefon bimbit Shaiful untuk mengesan kedudukan dan berjaya menemuinya.
“Kata mereka (penyelamat), anak saya dihempap runtuhan konkrit dan ketika mereka memegang tangannya, terasa sejuk,” katanya tenang.
Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku di kawasan berkenaan sejak dia sekeluarga menetap di situ pada 1995.
Ditanya sebarang petanda sebelum kejadian, Shaharuddin berkata, beberapa hari sebelum kejadian, kolam ikan yang dibina mengalami sedikit rekahan dan bagaikan beralih sedikit tempat dari tapak asalnya.
“Beberapa hari lalu saya berhasrat membuat kerja pengubahsuaian kolam ikan ini kerana mendapati ia bergerak sedikit daripada biasa dan hampir nak bocor. Namun, tidak sangka ia petanda awal kejadian ini,” katanya.
Shaharuddin percaya, kejadian runtuhan tanah di kawasan itu ada kaitan dengan projek pembinaan terbengkalai sejak 10 tahun lalu yang dijalankan di atas sebuah bukit.
Sementara itu, adik Shaiful, Shahnur, 14, berkata dia sempat berbual dengan Shaiful melalui telefon, kira-kira jam 12.30 pagi semalam, yang mana abangnya seronok bercerita mengenai permainan video serta tidak sabar-sabar untuk mengikuti kursus bermain gitar bulan depan.
“Perbualan kami hampir 30 minit, tidak pernah saya berbual dengannya melalui telefon selama itu. Jam 2 pagi, saya SMS tanya dia buat apa dan dia jawab bermain ‘game’. Pada jam 4 pagi abah telefon bagi tahu rumah kami runtuh,” kata anak bongsu daripada enam beradik itu.
Ketika kejadian, Shahnur ada di Telok Panglima Garang, Banting, Selangor kerana menetap bersama ibunya, Sa’dayah Mohd Daie, 48, serta dua kakak lain.
“Ketika abah hubungi, saya melayari Internet. Suara abah terketar-ketar, malah abah tidak dapat bercakap lama kerana menggunakan telefon bimbit orang lain.
“Namun, telefon bimbit abang berjaya ditemui dan ia menjadi pengubat rindu saya kepadanya,” katanya sambil menunjukkan telefon bimbit Shaiful.
Menurutnya, dia terkilan kerana hasrat abangnya yang lebih dikenali dengan panggilan Epul untuk bermain gitar tidak tercapai dan kali terakhir mereka bertemu hampir sebulan lalu ketika makan bersama di sebuah restoran di Bukit Antarabangsa.
Sementara itu, seorang lagi adik mangsa, Sapura, 17, berkata abangnya tidak menunjukkan perubahan sebelum ini, malah ceria ketika dia berbual melalui telefon pada jam 9.30 malam sebelum kejadian.
“Abang lelaki bertanggungjawab, ceria dan suka bergurau dengan adik-beradik. Kali terakhir saya bercakap dengannya malam tadi jam 9.30 malam. Ketika itu abah di luar rumah, abang yang angkat telefon.
“Saya tidak sangka, beberapa jam selepas itu abang sudah tiada, suaranya masih terngiang-ngiang di telinga saya,” katanya yang baru menduduki peperiksaan SPM.
Dalam pada itu, bapa mangsa yang menceritakan kejadian itu berkata, Shaiful tidak pernah tidur di tingkat bawah rumah, namun pada malam kejadian dia berbuat demikian tanpa diketahui tujuannya.
“Biasanya, dia tidur di tingkat atas rumah dua tingkat kami, tetapi malam itu dia mahu tidur di tingkat bawah. Mungkin ini sudah ajalnya, saya reda,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Ir K Thanarajah, 40, sekadar terpaku apabila melihat isterinya, Yogeswary terkorban akibat ditimpa siling dan dinding rumah ketika menyelamatkan anak perempuan mereka, Thidesh.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, Thanarajah yang ada di rumah bersama isteri terkejut mendengar dentuman kuat, kemudian nampak lantai rumahnya menggelungsur dan mulai runtuh.
Sebaik keluar bilik, beliau berkata, dia dan isteri bergegas mendapatkan tiga anak mereka, Avinesh, 11, Tidesh dan Pryanka, 3, yang tidur di bilik berasingan.
“Ketika itu gelap, bekalan elektrik terputus membuatkan saya dan isteri (Yogeswary) panik kemudian terus mengejutkan anak yang tidur.
“Kejadian sangat pantas, siling rumah mula jatuh dan ketika itu isteri saya cuba mendapatkan Thidesh. Malangnya ketika dalam kelam kabut itu, isteri saya tidak sempat menyelamatkan diri. Mujur Thidesh selamat,” katanya.
Yogeswary disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk di dada dan belakang, manakala Thanarajah patah tangan kiri. Anaknya dilaporkan sekadar mendapat cedera ringan dan dalam keadaan stabil.
Ng Yee Peng disahkan meninggal dunia akibat tulang rusuk patah, manakala bayi terbabit serta suami mangsa selamat. Bagaimanapun, suami mangsa yang masih dalam keadaan trauma enggan ditemubual ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.
Sementara itu, lewat petang semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata gerakan mencari dan menyelamat membabitkan 500 anggota pelbagai jabatan yang bermula kira-kira jam 5 pagi semalam diteruskan hingga bagi menemukan dua mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus.
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment