mutiara kata

Aroi Lokcing House (francais steamboat bakar (lokcing) pertama Malaysia)

Followers

blogwalking....

Monday, June 30, 2008

Seorang wanita benggali di Amerika dalam menegakkan kebenaran Islam



Semenjak berlakunya serangan Sept 11, banyak yang telah diperkatakan tentang agama Islam. Islam sering sahaja dipersalahkan bila berlakunya kejadian-kejadian yang melibatkan pengganasan. Ramai cendekiawan Islam telah menyuarakan pendapat mereka dan mengutuk serangan-serangan tersebut. Di samping itu juga, mereka telah mengambil kesempatan ini untuk membetulkan tanggapan Barat tentang Islam dan memperkenalkan ajaran Islam yang sebenarnya.

Selain itu, terdapat juga beberapa pihak dan individu yang berusaha untuk merapatkan agama Islam dengan agama-agama lain melalui hubungan antara kepercayaan. Salah seorang penganjur dalam memperbetulkan tanggapan Barat tentang Islam, adalah Cik Sharmin Ahmad.

Beliau yang dilahirkan di
Bangladesh, adalah seorang perunding cara dalam hak asasi manusia dan hak wanita, beliau juga merupakan seorang pendidik keamanan dan seorang penulis. Buku beliau, A Rainbow in a Heart, atau Pelangi di Hati, meneroka tanggungjawab seorang ibu terhadap anaknya disamping menerapkan nilai-nilai insan seperti sifat kasih sayang dan belas kasihan;

“Ianya bermula dengan pencarian yang ada kena mengena dengan pengalaman saya sewaktu kecil, di mana saya melihat kekejaman yang berlaku di negara saya sendiri, yang dahulunya dikenali sebagai Timur Pakistan. Sebagai seorang
kanak-kanak, saya tertanya tentang serangan-serangan ke atas kami, yang dilakukan oleh orang Islam sendiri. Mereka menggelarkan diri mereka orang Islam tetapi kami terpaksa mencari perlindungan di negari yang majoritinya beragama Hindu. Jadi gelaran tidak boleh di jadikan ukuran, tetapi kelakuan dan sifat pekerti seseorang itu. Adakah sifat itu sifat penyayang? Sifat Keadilan? Dan sifat kemanusiaan? Dari situ, saya mula mencari persefahaman antara semua ajaran agama dan kepercayaan dalam keadilan dan perasaan belas kasihan, yang menjadi nadi semua agama. Dan saya berjaya mendapatkan persefahaman itu melalui interaksi dan pengalaman saya sendiri. Ada perbezaan dalam hukum, amalan, budaya dan pendapat tetapi pada inti patinya, semua agama menyeru pada sifat belas kasihan. Sayangi jiran anda seperti anda menyayangi diri sendiri, itu adalah pegangan semua agama.”

Cik Sharmin Ahmad yang dilahirkan dan dibesarkan di
Bangladesh langsung berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1984. Walaupun sudah menjadi warga Amerika, beliau masih lagi memperjuangan hak asasi manusia di negara asalnya, terutama sekali hak-hak wanita;

“Saya melanjutkan pelajaran Sarjana di bidang pengajian wanita di Univeriti George
Washington. Saya juga mengambil kursus pos-siswazah dalam bidang pendidikan awal dan beberapa kursus perbandingan agama. Bila tamat pengajian, saya fikirkan cara paling baik untuk saya berkhidmat kepada masyarakat. Bukan sahaja pada Amerika, tetapi pada mereka yang perlukan keperluan asas untuk hidup. Saya menyertai sekumpulan wanita Bangladesh untuk menolong kaum wanita dan kanak-kanak yang melarat. Melalui kutipan tahunan kami, kita berjaya menolong mereka dalam pembangunan kemahiran dan kemampuan, memberikan mereka biasiswa dan juga membina tempat berteduh. Selain dari itu, saya menjadi pakar runding di beberapa institut antara fahaman dan juga pensyarah.”

Selepas serangan
11 September, masyarakat Amerika secara keseluruhannya merasa curiga dengan kehadiran masyarakat Islam di Amerika. Cik Sharmin Ahmad menceritakan pengalaman beliau;

“Saya menetap di
Maryland dan saya didedahkan dengan masyarakat berbilang budaya. Penduduk di kawasan ini lebih interaktif dan terdapat juga segolongan besar penuntut, cendekiawan yang datang dari pelbagai rumpun bangsa. Saya bertuah kerana jiran-jiran dan rakan-rakan saya faham akan keadaan sebenar. Saya tidak rasa yang saya harus menyembunyikan identiti saya sebagai orang Islam. Tetapi, saya rasa keadaannya mungkin berlainan jika saya tinggal di bandar kecil lain di Amerika. Saya kurang pasti, jika saya tinggal di kawasan yang penduduknya kurang mendapat pendedahan, dan tidak mempunyai masyarakat berbilang kaum, pengalaman saya mungkin berbeza. Secara peribadi, saya pernah mengalami masalah, terutama sekali bila hendak menghadiri mesyuarat di negeri lain, di mana saya ditahan agak lama juga kerana nama saya.”

Dalam usaha beliau untuk menjelaskan ajaran Islam yang sebenar melalui jalinan hubungan antara kaum dan agama yang berbeza, beliau juga mengambil kesempatan untuk membetulkan tanggapan Barat yang salah mengenai
hak wanita dalam Islam. Pendapat beliau tentang isu ini;

“Hak terhadap harta benda wanita Inggeris dikuatkuasakan sekitar tahun 1870. Islam telah memberikan hak itu kepada wanita 1400 tahun yang lalu. Dan Al Quran ada mengatakan tentang perkongsian antara lelaki dan wanita, dan wanita dan lelaki adalah pasangan untuk satu sama lain. Tujuan utama dijadikan lelaki dan wanita, dan juga hubungan suami isteri, ialah untuk sayang menyayangi dan kasihan antara satu sama lain. Jadi jika di ambil kira ciri-ciri ini semua, tidak ada satu kaum yang menguasai kaum yang lain dalam Islam.”

Cik Sharmin Ahmad berharap persefahaman antara masyarakat Islam dan masyarakat yang beragama lain di Amerika dapat dipertingkatkan. Satu cara yang boleh menyatukan rakyat Amerika, tidak kira apa jua fahaman, dalam memerangi ancaman pengganas pada masa hadapan, menurut Cik Sharmin, adalah dengan
berdialog;

“Lebih banyak dialog dan juga berikan perhatian kepada masyarakat Islam yang bukan pengganas, yang lebih sukakan kedamaian seperti kebanyakkan masyarakat lain. Dengar suara mereka, dan pada masa yang sama kukuhkan kerja-kerja mereka di dalam pembangunan kedamaian. Keadilan juga harus dikuatkuasakan, kerana punca utama terjadinya bencana dan serangan pengganas ialah bila ada ketidakharmonian dalam satu masyarakat itu dan tidak ada keadilan.”

Cik Sharmin Ahmad, dilahirkan di
Bangladesh, namun kini bermastautin di Amerika, beliau juga merupakan seorang perunding cara hak asasi manusia dan hak wanita, beliau juga adalah seorang pendidik keamanan dan seorang penulis.


http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=28

BERHENTILAH WAHAI SAUDARAKU

Saudaraku tercinta! Sesungguhnya alam semesta ini, yang besar mahupun yang kecil, semuanya menghadap kepada Allah s.w.t., bertasbih kepada-Nya, mengagungkan dan bersujud kepada-Nya. Allah s.w.t berfirman yang maksudnya, "Dan tidak ada satu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya". (QS. Al-Isra: 44).


Sesungguhnya seluruh makhluk yang Allah ciptakan menundukkan kepalanya, merendahkan diri kepadaNya dan mengakui keutamaanNya. Akan tetapi, di alam semesta ini ada suatu makhluk kecil yang rendah lagi hina. Diciptakan dari setitis air yang hina (mani) tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata. Dia berada di suatu lembah manakala alam semesta berada di lembah yang lain. Ia enggan taat, tidak mahu tunduk dan enggan bertasbih kepada-Nya, meskipun segala sesuatu yang ada di sekelilingnya tekun berzikir dan bertasbih kepada Allah s.w.t. Makhluk kecil ini ialah manusia yang melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. Alangkah dahsyatnya kesesatan ini! Alangkah besarnya kebodohan ini! Dan alangkah rendah dan hinanya kerana ia menjadi penyakit di alam yang sempurna ini.

Berapa banyak ia dipujuk supaya bertaubat namun ia enggan untuk bertaubat. Berapa kali ia diminta untuk kembali kepada Allah s.w.t., namun dia enggan untuk kembali, malah sebaliknya ia lari dariNya. Berapa banyak diajukan kepadanya perdamaian bersama kekasihnya namun dia enggan berdamai dan mengangkat kepalanya menyombongkan diri.

Saudaraku tercinta! Sebelum engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t. berfikirlah sejenak tentang dunia ini dan kehinaannya. Berfikirlah tentang penghuni dan pencintanya. Dunia telah menyiksa mereka dengan siksa yang beraneka ragam. Memberi minum dengan minuman yang paling pahit. Membuat mereka sedikit tertawa dan banyak berlinangan air mata.

Sebelum engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t berfikirlah tentang kehidupan dan kekalnya akhirat. Ia adalah kehidupan yang sebenarnya. Ia adalah tempat kembali. Ia adalah penghujung perjalanan.

Sebelum engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t. fikirkanlah sejenak tentang api neraka, bahan bakarnya, gemuruhnya, kedalaman jurangnya dan kedahsyatan panas apinya. Bayangkanlah betapa pedihnya siksa yang dirasakan penghuninya. Mereka di dalam air yang sangat panas dalam keadaan wajah yang tersungkur. Di dalam neraka mereka seperti kayu bakar yang menyala-nyala.

Sebelum engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t., wajib bagimu untuk berfikir tentang syurga dan apa yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang yang mentaatiNya. Di dalam syurga terdapat sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, telinga belum pernah mendengarnya dan tidak pernah terlintas dalam hati dan benak manusia, berupa puncak kenikmatan dengan kelazatan yang paling tinggi berupa berbagai macam makanan, minuman, pakaian, pemandangan, dan kesenangan-kesenangan yang tidak akan disia-siakan kecuali oleh orang-orang yang diharamkan untuk memasukinya.

Saudaraku tercinta! Sebelum engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t. ingatlah berapa lama engkau akan hidup di dunia ini? Enam puluh tahun, lapan puluh tahun. Seratus tahun, seribu tahun? Kemudian apa setelah itu? Kemudian kematian pasti akan datang.Di manakah tempat tinggal mu? Syurga-syurga yang penuh dengan kenikmatan ataukah neraka jahim?

Saudaraku tercinta! Yakinlah dengan keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawasanya Malaikat Maut yang telah mengunjungi orang lain, sesungguhnya ia sedang menuju ke arahmu. Hanya dalam hitungan tahun, bulan, minggu, hari, bahkan hitungan minit dan saat ia akan menghampirimu. Lalu engkau hidup seorang diri di alam kubur. Tiada lagi harta, keluarga dan sahabat-sahabat tercinta. Ingatlah dan renungkanlah gelapnya kubur dan keseorangan kamu di dalamnya, sempit ruangannya, sengatan binatang-binatang berbisa, ketakutan yang mencekam dan kedahsyatan pukulan Malaikat Azab.

Saudaraku tercinta! Ingatlah hari Kiamat. Hari di mana kemuliaan hanya di tangan Allah s.w.t.. Ketika rasa takut mengisi hati. Ketika engkau berlepas diri dari anakmu, ibumu, ayahmu, isterimu, dan juga saudaramu. Ingatlah suasana kelam-kabut di saat itu. Ingatlah hari di mana neraca diletakkan dan lembaran-lembaran amal manusia beterbangan. Berapa banyak amal kebaikan di dalam bukumu? Berapa banyak ruang-ruang kosong dalam amal-amalmu? Ingatlah tatkala engkau berdiri di hadapan Al-Malikul Haqqul Mubin Zat Yang engkau lari dariNya. Zat Yang memanggilmu namun engkau berpaling dariNya. Engkau berdiri di hadapanNya dan di tanganmu lembaran catatan amal yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar, melainkan ia mencatat semuanya.

Maka lisan manakah yang engkau gunakan untuk menjawab pertanyaan Allah s.w.t. ,ketika Ia bertanya kepadamu tentang umurmu, masa mudamu, perbuatanmu, dan juga hartamu. Maka kaki manakah yang engkau gunakan untuk berdiri di hadapan Allah s.w.t. ? Dengan mata yang mana engkau memandangNya? Dan dengan lisan manakah engkau menjawab-Nya ketika Ia berkata kepadamu, "Hamba-Ku, engkau menganggap remeh pengawasan-Ku padamu, Engkau anggap sebagai orang yang paling hina dari orang-orang yang memperhatikanmu. Bukankah Aku telah berbuat baik kepadamu? Bukankah Aku telah memberi nikmat kepadamu? Lalu mengapa engkau mendurhakaiKu padahal aku telah memberi nikmat kepadamu."

Saudaraku tercinta! Tidak sanggupkah engkau bersabar mengerjakan ketaatan kepada Allah s.w.t. di hari-hari yang pendek ini? Detik-detik ini begitu cepat, setelah itu engkau akan meraih kemenangan yang sangat besar dan engkau akan bersenang-senang di dalam kenikmatan yang abadi.

Saudaraku tercinta! Di sana terdapat segolongan manusia yang berkeyakinan bahawa mereka diciptakan dengan sia-sia dan dibiarkan begitu sahaja. Kehidupan mereka hanya diisi dengan senda gurau dan permainan belaka. Penglihatan mereka tertutup, telinga mereka tuli untuk mendengar petunjuk, hati mereka terbalik, mata mereka buta dan hati mereka tak berfungsi sama sekali. Engkau akan mendapati di majlis-majlis mereka segala sesuatu kecuali Al-Qur'an dan zikir kepada Allah s.w.t.

Mereka meninggalkan Allah s.w.t, padahal mereka adalah hamba-hamba-Nya yang berada di dalam genggaman-Nya. Allah s.w.t. memanggil mereka namun mereka tidak menyahut panggilan-Nya, mereka lebih mendahulukan panggilan syaitan, keinginan, dan hawa nafsu mereka. Ajaib sungguh keadaan mereka! Bagaimana mereka sanggup memenuhi ajakan syaitan dan meninggalkan seruan Allah s.w.t. . Ke manakah perginya akal mereka?!

Allah s,w,t telah berfirman, maksudnya, "Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada." (QS. Al-Hajj:46).

Apa salah Allah s.w.t. terhadap mereka sehingga mereka sanggup mendurhakai dan tidak mentaati-Nya?! Bukankah Allah s.w.t. telah menciptakan mereka? Bukankah Dia telah memberi rezeki kepada mereka? Bukankah Dia telah mencukupi harta mereka dan menyihatkan tubuh mereka? Apakah Allah s.w.t Yang Maha Lembut dan Maha Mulia telah menipu mereka?

Apakah mereka tidak takut jikalau kematian mendatangi mereka di saat sedang bermaksiat kepada Allah s.w.t.? Sebagaimana firman-Nya, maksudnya, "Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak disangka-sangka)? Tiadalah yang merasa aman dari azab Allah kecuali orang-orang yang rugi." (QS. Al-A'raf: 99).

Hindarilah dirimu untuk menjadi sebahagian dari mereka dan jauhkanlah dirimu dari mereka. Beramallah untuk sesuatu yang engkau diciptakan , iaitu, beribadah kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya, demi Allah, engkau diciptakan untuk sesuatu yang sangat agung. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud , "Tidaklah Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku". (QS.Az-Zariyat:56).

Saudaraku tercinta! Wahai engkau yang sedang melakukan maksiat kepada Allah!! Kembalilah kepada Tuhanmu dan takutlah akan api neraka. Sesungguhnya di hadapanmu terbentang berbagai kesulitan. Sesungguhnya di hadapanmu terbentang dua pilihan, kehidupan penuh nikmat atau kehidupan penuh siksa. Sesungguhnya di hadapanmu terhampar kalajengking-kalajengking, ular-ular dan masalah-masalah yang sukar dan pelik. Demi Allah yang tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Dia, tawa tidak dapat memberi manafaat kepadamu. Nyanyian-nyanyian, filem-filem, dan perkara-perkara hina tidak dapat memberi manafaat kepadamu. Aneka surat khabar dan majalah tidak mampu memberi manfaat kepadamu. Isteri, anak-anak, teman dan sahabat tidak dapat memberi manfaaat kepadamu. Harta yang melimpah tidak akan memberi manafaat kepadamu. Tidak ada yang mampu memberi manafaat kepadamu kecuali kebaikan-kebaikan dan amal-amal soleh yang engkau kerjakan selama hidupmu di dunia.

Saudaraku tercinta! Demi Allah tidaklah aku menulis perkataan ini melainkan kerana kasihan aku kepadamu. Aku khuatir wajah putihmu ini berubah menjadi hitam pada hari Kiamat. Aku takut wajah bercahayamu ini akan berubah menjadi gelap. Aku gusar tubuh yang sehat ini akan diratah oleh api neraka. Maka bersegeralah, semoga Allah s.w.t. memberi taufik kepadamu, untuk membebaskan dirimu dari api neraka. Nyatakanlah ia sebagai taubat yang sebenarnya dari sekarang. Yakinlah bahawasanya selamanya engkau tidak akan menyesal melakukan itu. Bahkan sebalikya, dengan izin Allah s.w.t., engkau akan merasakan kebahagiaan. Hindarilah keraguan atau menangguh-nangguhkannya. Sesungguhnya aku, demi Allah, ingin menjadi penasihat bagimu.

Disaring oleh www.darulkautsar.com dari ringkasan dari, "Akhil Habib Qif", Ibrahim Al-Ghamidy oleh Sdr Zainal Abidin ( www.al-sofwah.or.id ) Rabu, 11 April 07

http://www.darulkautsar.com/santapanrohani/berhentilah.htm

"Siapa Yang Mengenal Dirinya, Maka Dia Telah Mengenal Tuhan-nya"


Mukaddimah

Kita sering mendengar ramai penceramah yang sering mengucapkan ungkapan seperti ini kerana menyangka ianya adalah hadis Rasulullah yang perlu diimani. Ungkapan ini sering disalahtafsirkan, khususnya penganut aliran Wahdatul Wujûd.

Sebenarnya ungkapan ini bukanlah merupakan hadis Rasulullah


Naskah Hadis (maudhu’)

مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ

Maksudnya "Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka dia telah mengenal Rabb-nya."

Imam an-Nawawiy berkata, "Hadits ini tidak sahih."
Ibn as-Sam'aniy berkata, "Ini adalah ucapan Yahya bin Mu'adz ar-Raziy."

Catatan:

Syaikh Muhammad Luthfiy ash-Shabbaq (penahqiq) buku ad-Durar al-Muntatsirah Fî al-Ahâdîts al-Musytahirah tulisan Imam as-Suyûthiy berkata,
tarafnya MAUDHU' (PALSU);

Sila rujuk ,

§ Fatâwa an-Nawawiy, h.120

§ al-Maqâshid al-Hasanah Fî Bayân Katsîr Min al-Ahâdîts al-Musytahirah 'Ala al-Alsinah, karya as-Sakhâwiy, h.419

§ al-Asrâr al-Marfû'ah Fî al-Akhbâr al-Mawdlû'ah, karya Mala al-Qariy, h.506

§ Tamyîz ath-Thayyib Min al-Khabîts Fîmâ Yadûr 'Ala Alsinah an-Nâs Min al-Hadîts, karya Ibn ad-Diba', h.165

§ Kasyf al-Khafâ` wa Muzîl al-Ilbâs 'Amma isytahara Min al-Ahâdîts 'Ala Alsinah an-Nâs, karya al-'Ajlûniy, Jld.II, h.262

§ al-Fawâ`id al-Majmû'ah Fî al-Ahâdîts al-Mawdlû'ah, karya Imam asy-Syaukaniy, h.87

§ Asnâ al-Mathâlib, karya Muhammad bin Darwîsy al-Hût, h.219

§ Risalah: al-Qawl al-Asybah Fî Hadîts Man 'Arafa Nafsahu 'Arafa Rabbahu, karya Imam as-Suyûthiy di dalam kitabnya al-Hâwiy, Jld.II, h.412

§ Tadrîb ar-Râwiy, karya Imam as-Suyûthiy, h.370

§ Tadzkirah al-Mawdlû'at, karya al-Fitniy, h.16

§ al-Fatâwa al-Hadîtsiyyah, karya Ibn Hajar al-Haitamiy, h.211

http://www.darulkautsar.com/penghadis/iman/siapa.htm

§ Hilyah al-Awliyâ`, karya Abu Nu'aim al-Ashfahâniy, Jld.X, h.208

(Disaring dari sumber asal : ad-Durar al-Muntatsirah Fi al-Ahadits al-Musytahirah karya Imam as-Suyuthiy, tahqiq oleh Syaikh.Muhammad Luthfiy ash-Shabbagh, h.173, hadits no.393) " - (www.al-sofwah.or.id )

PEREMPUAN TIDAK BERASAL DARIPADA TULANG RUSUK


hawa

Kita sering mendengar cerita bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam. Sehingga terdapat ungkapan yang mengatakan wanita dijadikan daripada tulang rusuk supaya yang dekat dengan hati dan supaya sering didampingi serta diingati dan bermacam-macam lagi. Begitu juga, hampir semua kitab-kitab tafsir menyebutkan kisah penciptaan Hawa dan menjadi asas kepada ulama tafsir ketika menjelaskan maksud ayat pertama surah al-Nisa’. (Sila lihat Tafsir at-Tabari, Tafsir al-Baidhawi, al-Kahzin dan lain-lain)

Kenyataannya ialah tidak ada satupun ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang jelas menyebutkan hakikat kejadian Hawa. Al-Quran tidak menyebutkan Hawa dicipta daripada Adam tetapi manusia itu dicipta daripada jiwa yang satu. Apa yang disebutkan di dalam al-Quran ialah manusia itu diciptakan daripada jenis yang sama dengannya juga. Seorang manusia tentunya ibu bapanya manusia juga bukan makhluk yang lain.

Abu A`la al-Mawdudi menulis komentar bagi ayat pertama surah al-Nisa’ ini: “Umumnya para pentafsir al-Quran menyebutkan Hawa dicipta daripada tulang rusuk Adam dan Bible juga menyebutkan perkara yang sama. Kitab Talmud pula menambah bahawa Hawa diciptakan daripada tulung rusuk Adam yang ketiga belas. Tetapi al-Quran tidak menyentuh langsung perkara ini dan hadis-hadis yang dipetik untuk menyokong pandangan ini mempunyai makna yang berbeza dari yang sering difahami. Oleh itu, perkara yang terbaik ialah membiarkan perkara yang tidak dijelaskan seperti yang terdapat dalam al-Quran dan tidak perlu membuang masa bagi menentukan perinciannya.” ( The Meaning of The Quran, jil. 2 hal. 94)

Menurut al-Mawdudi, hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tidak menyatakan perkara yang sebagaimana yang tersebar dalam masyarakat Islam iaitu sebenarnya tidak ada satupun hadis baginda s.a.w yang menerangkan asal- usul kejadian Hawa.

Kaedah yang sebenar ialah tidak perlu memberatkan diri dalam menentukan perkara yang Allah s.w.t. tidak menyatakan dengan terang dan jelas. Contohnya, apabila Allah s.w.t. menyebutkan cerita tentang bahtera Nabi Nuh tidak perlu bagi kita untuk menentukan apakah saiz dan kapasitinya atau bahan buatannya. Perincian itu bukan menjadi maksud penurunan al-Quran. Apa yang penting ialah menjadikan peristiwa tersebut sebagai iktibar dab pengajaran. Dengan kata lain, al-Quran bukan kitab sejarah atau sains tetapi kitab yang memberi panduan hidup kepada manusia supaya selamat di dunia dan akhirat.

Dalam hal ini Shah Waliyullah menyebutkan dengan jelasnya. Kata beliau ketika mengulas kisah-kisah yang diceritakan oleh al-Quran: “Bukanlah maksud cerita-cerita di dalam al-Quran untuk mengetahui cerita itu sendiri. Maksud sebenarnya ialah supaya pembaca memikirkan betapa bahayanya syirik dan kemaksiatan serta hukuman Allah hasil dari perbuatan syirik itu di samping menenangkan hati orang-orang yang ikhlas dengan tibanya pertolongan dan perhatian Allah kepada mereka” (al-`Fawz al-Kabir Fi Usul al-Tafsir, hal. 138)

Mengapa Berlaku Kekeliruan Tentang Kejadian Hawa Ini?

Ada beberapa faktor mengapa berlaku kekeliruan dalam memahami makna sebenar ayat ini:

1. Berpegang Dengan Riwayat Israiliyyat

Fasal yang kedua di dalam Sifr al-Takwin menyebutkan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam ketika baginda sedang tidur. (Tafsir al-Manar, jil. 4, hal. 268.) Disebabkan ada riwayat dalam kitab-kitab yang dahulu, ahli-ahli tafsir terus menganggap ia sebagai sokongan atau pentafsiran kepada al-Quran. Bagaimana mungkin ayat al-Quran ditafsirkan dengan riwayat Israiliyyat walhal penurunan kitab-kitab nabi terdahulu lebih awal lagi daripada al-Quran. Sepatutnya, kitab yang turun kemudianlah yang menjelaskan kitab-kitab yang terdahulu.

Hadis berkenaan perkara ini mempunyai beberapa versi. Antaranya ialah;

  1. Perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk

  2. Perempuan seperti tulang rusuk.

  3. Perempuan adalah tulang rusuk.

2. Mengkhususkan Keumuman Hadis Tanpa Nas Yang Jelas

Antara kesilapan dan kekeliruan ialah mengkhususkan lafaz hadis yang menyebut perempuan kepada Hawa. Hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. semuanya dengan jelas menyatakan perempuan dalam bentuk tunggal atau jamak dan tidak ada yang menyebutkan Hawa secara khusus. Jelasnya, para pentafsir menyangka wanita dalam hadis tersebut adalah Hawa tanpa berdasarkan kepada nas yang lain yang menentukan makna yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. itu.

3. Kesilapan Memahami Kata Sendi Nama Min من

Walaupun perkataan min itu memberi erti “daripada”, “punca sesuatu perkara” atau “sebahagian”, kata sendi nama min juga mempunyai makna lain seperti “untuk menyatakan sebab” dan “menyatakan jenis sesuatu perkara”. Oleh itu, pemakaian huruf ini dalam bahasa Arab adalah luas dan tidak semestinya terikat dengan satu makna sahaja. (lihat, Ibn Hisyam, Mughni al-Labib, jil. 1, hal. 319)

Abu Muslim al-Asfahani mengatakan, maksud menciptakan daripadanya pasangannya ialah menciptakannya dari jenisnya. (lihat Hasyiah Zadah `Ala al-Baidhawi) Ini seperti ayat-ayat al-Quran berikut:

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Rum: 21)

فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah al-Syura: 11)

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ

Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagi kamu daripada pasangan-pasangan kamu anak-anak dan cucu dan memberikan rezki kepada kamu daripada benda-benda yang baik. (Surah al-Nahl: 72)

Ayat-ayat ini tidak boleh difahami sebagai isteri-isteri kita itu diciptakan daripada diri atau jasad kita tetapi mestilah difahami sebagai “mereka itu dari jenis yang sama dengan kita”.

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari jenis kamu, yang amat berat baginya kesusahan kamu, sangat berharap akan keimanan kamu dan sangat kasih serta menyayangi kepada orang-orang yang beriman. (Surah al-Taubah:128)

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberikan kurniaan yang besar kepada orang-orang yang beriman ketika Dia mengutuskan seorang rasul kepada mereka dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan Kitab dan Hikmah. Sesungguhnya mereka sebelum itu berada di dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali Imran: 164.)

Kedua-dua ayat ini dengan jelasnya menyebutkan Rasulullah s.a.w. yang diutuskan kepada kita adalah dari kalangan manusia yang sama seperti kita bukan dari kalangan makhluk yang lain seperti malaikat.

Dengan itu, hadis ini ditafsirkan sebagai sifat dan perasaan perempuan itu daripada jenis yang mudah bengkok.

عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يؤذي جاره واستوصوا بالنساء خيرا، فإنهن خلقن من ضلع، وإن أعوج شيء في الضلع أعلاه، فإن ذهبت تقيمه كسرته، وأن تركته لم يزل أعوج، فاستوصوا بالنساء خيرا).

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)

عن أبي هريرة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: (المرأة كالضلع، إن أقمتها كسرتها.

Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari4889).

Hadis ini telah dikemukakan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Nikah bab berlembut dengan wanita. Tujuan al-Bukhari mengemukakan hadis ini ialah untuk menyatakan sifat fitrah wanita bukannya hakikat kejadian mereka. Apakah tubuh atau jasad wanita akan mudah patah apabila dikasari oleh orang lain? Tentu sekali tidak.

عن أبي هريرة. قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن المرأة كالضلع. إذا ذهبت تقيمها كسرتها.

Sesungguhnya perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat Muslim no: 1468.)

Hadis ini lebih jelas lagi menyatakan sifat perempuan itu seperti tulang rusuk bukan diciptakan daripada tulang rusuk. Penggunakan partikel kaf ك ini bagi menyatakan persamaan antara perempuan dan tulang rusuk. Sementara ayat yang kedua merupakan sudut persamaan antara kedua-duanya.

Kecenderungan Imam al-Bukhari ketika membuat Tarjamatul Bab di dalam Sahihnya, iaitu:

باب: المداراة مع النساء، وقول النبي صلى الله عليه وسلم: (إنما المرأة كالضلع).

Bab berlembut dengan wanita dan Sabda Nabi s.a.w.: Sebenarnya perempuan itu seperti tulang rusuk.

Dengan membuat tajuk begini Imam al-Bukhari tidaklah berpendapat bahawa Hawa itu dijadikan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam.

Begitu juga di dalam al-Adab al-Mufrad, Imam al-Bukhari mengemukakan riwayat:

إن المرأة ضلع , وإنك إن تريد أن تقيمها تكسرها

Sesungguhnya perempuan itu tulang rusuk. Jika kamu mahu untuk meluruskannya maka kamu akan mematahkannya. (al-Adab al-Mufrad, no: 747)

Apakah hadis ini menyatakan hakikat perempuan itu sebenarnya tulang rusuk? Tentu sekali tidak. Hadis ini merupakah satu bentuk tasybih atau perumpamaan yang mempunyai nilai balaghah atau retorik yang tinggi di mana perkataan yang menyatakan persamaan tidak digunakan begitu juga sudut keserupaan tidak disertakan. Ayat yang kedua boleh juga dikatakan sebagai bukti bahawa perkataan tulang rusuk tidak difahami secara harfiah.

Sokongan Kepada Penafsiran Ini

Penafsiran min bukan dengan makna punca atau asal-usul sesuatu adalah sesuai hadis berikut:

عن أبي قلابة، عن أنس رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في سفر، وكان غلام يحدو بهن يقال له أنجشة، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (رويدك يا أنجشة سوقك بالقوارير). قال أبو قلابة: يعني النساء.

Daripada Abu Qilabah daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. berada dalam satu perjalanan. Ada seorang budak yang dikenali dengan Anjisyah menarik unta yang ditunggangi oleh wanita-wanita. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai Anjisyah! Perlahankanlah kerana yang kamu tarik itu ialah botol-botol kaca. Perawi, Abu Qilabah, berkata: Maksudnya ialah wanita-wanita. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 5857.)

Rasulullah s.a.w. menggambarkan wanita sebagai golongan yang lembut dari segi perwatakan dan cukup sensitif. Baginda menyebutkan wanita seperti botol-botol kaca yang mudah pecah jika tidak dijaga dan diberi perhatian.

Kesimpulan

Hadis ini perlu difahami secara balaghah iaitu berdasarkan retorik bahasa Arab. Rasulullah s.a.w. menyampaikan pesanan ini dalam bentuk tasybih (perumpamaan) supaya maksud pesanan difahami dengan lebih mendalam. Tegasnya, supaya pendengar lebih peka dan prihatin bukan memberi perhatian kepada makna harfiah. Rasulullah s.a.w. membuat perumpamaan wanita seperti tulang rusuk bukan bermaksud untuk merendahkan kedudukan mereka tetapi sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya memberi perhatian kepada mereka, melayani mereka dengan baik, mendidik dan menjaga hati mereka. Sama seperti lelaki, wanita sama-sama berperanan untuk menegakkan agama dan menguruskan hal ehwal kehidupan.

Dengan pemahaman yang betul tentang hadis-hadis ini maka tertolaklah anggapan bahawa wanita adalah dari kelas kedua kerana kononnya dijadikan daripada orang lelaki iaitu Adam!

hawa

Sumber: http://www.darulkautsar.com/pemurniansejarah/teks/israiliyat/rusuk.htm

Bila Sifat Malu Tidak Berfungsi.... buat GADISKU

Gadisku, sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta dari tulang rusuk
Adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang
kumbang. Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bias menarik sang kumbang
untuk mendekatimu. Namun...tidak semua bunga senang didekati sang kumbang
lantaran duri yg memagari diri, umpama mawar merah, dari jauh sudah terhidu
keharumannya. Penahan warnanya yg terselah indah mengundang kekaguman
kepada sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.

Gadisku, aku suka sekiranya kau seperti mawar aspirasi setiap mujahadah.
Bentengilah kubu dirimu dengan perasaan malu yg bertunjangkan keimanan dan
keindahan takwa kepada Allah...hiasilah wajahmu dengan titisan wuduk.
Ingatilah ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki
dan lelaki tidak melihat kepadannya. Sesuatu yg tertutup itu lebih berharga
jika dibandingkan dengan sesuatu yg terdedah, umpama sebutir permata yg
didedahkan untuk perhatian umum dengan suatu permata yg diletakkan dalam
bekas tertutup. Sudah pasti keinginan naluri lebih kuat untuk melihat
sesuatu yg tersembunyi, melebihi sesuatu yg terdedah. Wanita solehah yg
patuh dan taat kepada AL-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya
adalah harapan setiap insan yg bernama Adam. Namun segalanya memerlukan
pengorbanan dan mujahadah yg tinggi kerana bertentangan dengan nafsu
serakah yg bersarang dalam dirimu. Lebih-lebih lagi dgn title gadis yg
engkau miliki, sudah pasti darah mudamu mencabar rasa keimanan yg ada.
Namun ingatlah gadisku...sesiapa yg inginkan kebaikan, maka Allah akan
memudahkan jalan-jalan baginya ke arah itu. Yang penting gadisku engkau
miliki azam, usaha dan istiqamah..

Gadisku, akuilah dirimu menjadi fitnah kpd kebanyakan lelaki. Seandainya
pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu, maka sudah tidak ada perisai yg
dapat membetengimu. Sesungguhnya Nabi ada mengatakan bahaya dirimu "tidak
ada suatu fitnah yang lebih besar, yg lebih bermaharajalela selepas wafatku
terhadap kaum lelaki selain fitnah yg berpunca dari kaum wanita." Oleh itu
gadisku, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan Al-Quran dan
As-Sunah. Jgn biarkan sekali sesiapa mengeksploitasikan dirimu untuk
kepentingan tertentu. Sesungguhnya Allah Taala telah mengangkat martabatmu
setaraf kaum Adam. Kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan
mujahidah yg bakal menggocang dunia dgn sentuhan lembut tanganmu.

Gadisku, dalam hidupmu engkau ingin menyayangi dan disayangi. Itulah fitrah
semulajadi setiap insan, namun ramai antara kaummu yg tewas kerana
cinta....bercinta tidak salah, tetapi memuja cinta itu salah. Ini adalah
kerana, kerana cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta maruah
tergadai. Gejala murtad serta keruntuhan moral muda-mudi sebahagian
besarnya kerana cinta. Benarlah sabda Rasulullah membawa maksud,
"Sesungguhnya cinta itu buta." Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu
dalam membezakan perkara yg hak dan baril, jika engkau meletakkan cinta itu
atas dasar nafsu semata-mata dan bukan kerana Allah swt. Sebelum engkau
mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu. Cintailah dirimu yg unik
itu dgn mengkaji hakikat kejadianmu yg begitu simbolik. Asal kejadian dari
setittis air yg tidak berharga, lalu mengalami proses pembentukkan yg
sempurna hasil rencana ALLAH. Semoga perasaan sebegitu dapat melahirkan
rasa keagungan dan kehebatan terhadap Allah dan dgn itu akan timbul cinta
dan kasihmu terhadap penciptamu.

Gadisku, menyintai Allah dan Rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah
cinta yg hakiki dan abadi...


http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=109

Petua dan nasihat

aleeya_maisarah123 menulis "PENYEBAB ROSAKNYA BADAN
Perkara yang menyebabkan rosaknya badan Iaitu perasaan runsing, gelisah, lapar dan tidak tidur malam (bukan tujuan qiyamullai)

MENERANGKAN PENGLIHATAN
Perkara yang boleh menerangkan pandangan dan menyejukkan hati iaitu melihat pada warna hijau, melihat air yang mengalir, melihat orang/barang yang disayangi dan melihat buah (dedaun).

Perkara yang boleh menggelapkan pandangan iaitu berjalan tanpa alas (berkaki ayam), menyambut waktu pagi dengan wajah murka (masam), banyak menangis dan banyak membaca tulisan yang kecil-kecil.


PENYEBAB WAJAH BERSINAR
Perkara yang boleh menyebabkan wajah kelihatan kering (hilang cahaya) iaitu berdusta, tidak mempunyai perasaan malu, banyak bertanya tanpa ilmu dan banyak berbuat dosa. Perkara yang boleh menyebabkan wajah bersinar iaitu menjaga maruah, jujur, dermawan dan takwa.


PERASAAN BENCI
Perkara yang menyebabkan perasaan benci iaitu sombong,dengki, berdusta dan suka mengadu domba.


PERKARA YANG MENDATANGKAN DAN MENYEKAT REZEKI
Perkara yang boleh menyebabkan datangnya rezeki iaitu Qiyamullai (beribadah di waktu malam selepas tidur), banyak membaca istighfar di waktu sahur (masa sebelum masuk waktu subuh), bersedekah dan berzikir di waktu pagi dan petang. Perkara yang menyebabkan rezeki tersekat iaitu tidur di waktu pagi, sedikit mengerjakan sembahyang, malas dan khianat.


KEFAHAMAN DAN INGATAN
Perkara yang boleh menyebabkan rusaknya ingatan dan kefahaman iaitu sentiasa makan buah yang masam, tidur pada tengkuk (belakang kepala), hati sedih dan fikiran runsing. Perkara yang menyebabkan bertambahnya daya ingatan dan kefahaman iaitu kegembiraan hati, sedikit makan dan sedikit minum, mengawal makanan dengan sesuatu yang manis dan berlemak serta mengurangkan kelebihan yang memberatkan badan.

Sekian, Wassallam.

http://www.ukhwah.com/article.php?sid=2513

airmata wanita



Suatu hari, seorang anak bertanya kepada ibunya, "Ibu, mengapa ibu menangis?"
Ibunya menjawab, "Sebab ibu adalah perempuan, nak." "Saya tidak mengerti ibu," kata si anak. Ibunya hanya tersenyum dan memeluknya erat. "Nak, kau memang tak akan mengerti…"

Kemudian si anak bertanya kepada ayahnya. "Ayah, mengapa ibu menangis?" "Ibumu menangis tanpa sebab yang jelas," sang ayah menjawab. "Semua perempuan memang sering menangis tanpa alasan."

Si anak membesar menjadi remaja, dan dia tetap terus bertanya-tanya, mengapa perempuan menangis? Hingga pada suatu malam, dia bermimpi dan bertanya kepada Tuhan, "Ya Allah, mengapa perempuan mudah menangis?" Dalam mimpinya dia merasa seolah-olah mendengar jawapannya:

"Saat Ku ciptakan wanita, Aku membuatnya menjadi sangat utama. Kuciptakan bahunya, agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya, walaupun juga bahu itu harus cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tertidur.

"Kuberikan wanita kekuatan untuk dapat melahirkan bayi dari rahimnya, walau kerap berulangkali menerima cerca dari si bayi itu apabila dia telah membesar.

"Kuberikan keperkasaan yang akan membuatnya tetap bertahan, pantang menyerah saat semua orang sudah putus asa.

"Ku berikan kesabaran jiwa untuk merawat keluarganya walau dia sendiri letih, walau sakit, walau penat, tanpa berkeluh kesah.

"Kuberikan wanita perasaan peka dan kasih sayang untuk mencintai semua anaknya dalam apa jua keadaan dan situasi. Walau acapkali anak-anaknya itu melukai perasaan dan hatinya. Perasaan ini pula yang akan memberikan kehangatan pada anak- anak yang mengantuk menahan lelap. Sentuhan inilah yang akan memberikan kenyamanan saat didakap dengan lembut olehnya.

"Kuberikan wanita kekuatan untuk membimbing suaminya melalui masa-masa sukar dan menjadi pelindung baginya. Sebab bukannya tulang rusuk yang melindungi setiap hati dan jantung agar tak terkoyak.

"Kuberikan kepadanya kebijaksanaan dan kemampuan untuk memberikan pengertian dan menyedarkan bahawa suami yang baik adalah yang tidak pernah melukai isterinya. Walau seringkali pula kebijaksanaan itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada suami agar tetap berdiri sejajar, saling melengkapi dan saling menyayangi.

"Dan akhirnya, Kuberikan wanita air mata, agar dapat mencurahkan perasaannya. Inilah yang khusus kepada wanita, agar dapat dia gunakan bila-bila masa pun dia inginkan. Ini bukan kelemahan bagi wanita, kerana sebenarnya air mata ini adalah "air mata kehidupan."

http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=214

Menyeberangi alam barzakh

Raidenz- menulis "Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru saja kami kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar ligat. "Aii.. menung nampak? Kenapa?" tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi penggali kubur di Bakri, Muar, Johor.

"Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit kena tanah," saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak datang ke kepala.

Mari pergi kat pondok... mandur nak jumpa. Dia nak cakap fasal kerja, gaji,overtime. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah," tambah Bakar sambil memikul cangkul dan botol airnya.

"Pergilah dulu, nanti aku datang," balas saya lantas duduk termenung.

Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid. Saya termenung. Ada satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya. Sebenarnya sudah lama ia bermain-main di benak tapi sekarang ini makin mendesak.

Orang ramai sudah balik, Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata orang, selepas tujuh langkah kita tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk menyoal simati. Kalau bagus amalannya semasa hidup, berbahagialah. Tapi kalau bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah...

Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga ke kubur dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam. Konon cerita, lepas itu terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit.

Eee... seramnya. Macam mana agak-nya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah badannya, garangkah rupanya atau berjubah dan maniskah wajahnya? Kalau dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak terperi. Kalau lipan, jengking datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh, nak mengadu tak boleh, kita seoranglah menanggung sakit pedih. Astaghfirullahal azim...

Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa muda saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas dan mengacau fikiran.

Pergi... pergi sekarang! Johar, masa inilah kalau nak cuba . Kawan- kawan dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya.

Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan jiwa yang bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di
telinga.

Cepat, cepat, cepat! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi?' Kan engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut? Allah, bukannya kena tangkap, bukannya boleh mati...

Jadi bisu? Sakit, lepas tu mereng sampai mati Jangan pedulilah, tu cerita orang saja. Entah ya entah tidak. Engkau orang muda, kuat semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat!

Dimulai lafaz bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus bangun dan terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja digali sebab di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai persediaan. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar, kalau ada banyak
kematian sekali gus, taklah timbul masalah.

Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah,
lailahaillallah, lailahaillallah...

Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau tanah dan sempitnya ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya betul-betul gemuruh.

Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah dan segala seksaan yang pcrnah didengar daripada guru-guru agama terbayang di depan mata.

Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu. Jeritan, tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar pada malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran.

Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa saya untuk menyaksikan sendiri keadaan di alam barzakh. Bunyinya memang gila, mana boleh manusia hidup menycberangi ke alam barzakh, tapi
saya ingin juga merasainya.

Lailahaillallah

Lailahaillallah

Lailahaillallah

Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi kelam dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amat menakutkan.

GGRUUMMM... PPPRRAAAPPP!!

Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu satu lagi sisi tanah kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan.

"Ya Allaaaaahhh... apa yang berlaku ini?" saya menggeletar kerana bunyi itu datang dari dua arah dan saling rapat merapati. Air mata seperti hendak mengalir.

GGGRRRRUUUMMM...

Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit menghimpit. Saya menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat daripada tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan dengan
bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku.

Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku ke tanah, tak dapat bergerak akibat terlalu terkejut.
ARGGHKKK... ERRRKKKKKKK

Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya laksana dia sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di kerongkong. Nafas saya sudah tidak tentu arah, takut yang amat sangat.

AARRKKK... UUURRRKKGGH!!!

Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. Perasaan simpati tak dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang tidak mampu ditembusi.

Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila tiba-tiba...
PPPR-RRAAPPPPP!!!... bunyi papan patah berderai.

PRRAAKK... TTAAPP... PRRAAPP!

Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur berkecai lalu disudahi dengan suara lelaki tersebut mengeruh. Serentak itu, kedengaran pula tulang-temulang patah!

Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah yang Nabi maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit tubuh orang-orang yang mengkufuri Allah hingga berselisih tulang selangkanya. Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang
mengerang itu. Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering apabila mendengar dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah berderap-derap.

Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku, tiba-tiba satu deruan angin yang maha dahsyat datang menerpa. Desingannya menyakitkan telinga.

Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam seperti asap, makin lama makin membesar lalu membentuk lembaga hitam yang teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang besi yang sedang
membara, merah menyala.

Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut. Pantas saya menepis, namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh, panasnya menyebabkan kulit tangan saya ini bagai tersiat dan dagingnya masak.

"ARGGGHHHH" Jangan pukul aku lagiiiii!!!" saya meraung apabila lembaga itu memukul kaki saya.

Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran. Bagai hendak tercabut anak tekak saya menjerit kerana kehangatan besi itu membakar daging paha saya.

"Arrgghhh... sakit, sakiiittt!!" saya meraung-raung, tapi lembaga hitam besar hingga sayup mata memandang itu terus menghayunkan besi panasnya ke kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya.

Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit menghimpit. Bumi tempat saya berpijak bergegar hebat laksana dilanda gempa.

Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap bagai dahan sekah, tetap kedengaran. Dalam hati saya meraung, matilah aku kejap lagi, patahlah tulang aku, renyuklah badan aku dibelasah dengan besi panas.

Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya terasa sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki mengerang lenyap serta-merta. Suasana terasa hening.

"Johar... Johar!!" sayup-sayup nama saya dipanggil.

Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan terlalu letih. Wajah seseorang berbalam-balam di mata.

"Johar... bangun, bangun!" nama saya dipanggil lagi, badan
digoncang-goncang.

Saya buka mata sedikit. Ooo... rupa-rupanya Bakar. Bersama-sama Pak Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari kubur.

Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. Bakar beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta mandur mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama mencari, akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri.

"Engkau menepis sana , mengelak sini. Habis tanah kubur tu engkau tumbuk. Aku ambil air. Aku simbahlah," kata Bakar sambil menunjukkan baldi yang digunakannya lalu disambut gelak tawa kawan-kawan.

Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak ceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya.

Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan akibat badan penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan menendang tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa
berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.

Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka berebut-rebut menyuruh saya menceritakan pengalaman menakutkan itu. Ada yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan,
mimpi dan igauan semata-mata.

Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati. Akhirnya saya telah saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat itu adalah keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya mimpi semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah.

Yang penting keinginan untuk menjengah alam itu telah tertunai.

Peristiwa pada pertengahan 1970-an itu telah memberi keinsafan yang benar-benar mendalam di hati saya.
Sesungguhnya janji ALLAH itu benar...MATI itu benar...SYURGA - NERAKA itu benar....dan..azab kubur ...itu juga benarrrr..... Semoga ALLAH terima segala amalan kita dan mengampubi dosa-dosa kita.... AMIN YA RABBAL A'LAMIN

http://www.ukhwah.com/article.php?sid=2536

suara hawa

Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.

Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mahu terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam...
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dia akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya. Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau-bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.

Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.


Adam...
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku.
Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tapi... aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu.

Namun... terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara.

Adam...
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.

Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini. Aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu.
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan
Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah.
Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut.

Tapi.. realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam...
Mengapa kau biarkan aku begini. Aku jadi ibu. Aku jadi guru, itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tapi sekarang diwaktu yang sama. Aku ke muka menguruskan hal negara. Aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk saja. Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara. Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?

Adam...
Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong,
maka Adam yang patut tanggung! Kenapa? Mengapa begitu ADAM? Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak-bapak tak pandai didik, jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar! Adam kau selalu berkata, Hawa memang degil, tak mahu dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang dhaif ini Adam, seharusnya kau tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya? Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam...
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu. Aku
adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu.

Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku...akalku satu nafsuku beribu! Dari itu Adam....pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah, perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam...
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat,
masih gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu.

bantulah aku menuju ke landasan yang benar, ADAM RENUNGKAN......"

http://www.ukhwah.com/article.php?sid=2538

Kelebihan lelaki pada akalnya

ukhuwwah_mml menulis "Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya. Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.

Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian. Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kocar-kacir.

Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam. Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.

Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka. Perempuan dengan gejala dedah; lelaki dengan gejala dadah.

Kata orang tua-tua - pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini sudah hampir berkubur. Apa tindakan kita sekarang?

http://www.ukhwah.com/article.php?sid=2540

aurat wanita lebih..adil ke?

"Ustaz mengapa kami kaum wanita kena tutup aurat banyak dan sukar, tapi lelaki sikit aja. Adil ke begitu ustaz?" Tanya seorang wanita yang bertitle PhD dalam bidang ekonomi kepada saya.

"Dr tahu tak berapa jarak matahari ke bumi? " Tanya saya membalas.

"Emm, tak ingat la ustaz, kenapa pulak? Bagaimana soalan saya tadi" Pakar ekonomi ini cuba mengingatkan saya.

"Cuba Dr bayangkan, kalau jarak antara matahari dan bumi ini tiba-tiba berubah jadi seinchi rapat, apa agaknya akan jadi kat kita?" Soal saya mengajaknya berfikir.

"Rasanya jika ikut teorinya, mesti hancur lebur dan cair penduduk bumi kot, ustaz" katanya.

"Jadinya, Dr setuju tak kalau saya kata bahawa Allah SWT begitu mahir dan amat tepat dalam seluruh urusannya, jika tidak..sudah tentu kita tak boleh hidup di dunia ni, bumi asyik berlaga, siang malam tak tentu hala dan tumbuhan semuanya kelam kabut tumbuhnya" Jelas saya sedikit panjang.

"Benar ustaz, saya amat bersetuju tentang Allah maha mengetahui dan berkuasa" katanya sambil mengangguk.

"Jika demikian, mengapa Dr boleh timbul rasa sangsi tentang keadilan dan kebijaksanaan Allah dalam mengarahkan wanita menutup aurat begini, dan lelaki begitu?" Saya cuba membawa semula kepada topik awalnya.

"Hmmm, ye tak ye jugak ustaz kan, betul-betul tak patut saya rasa begitu, astahgfirullahah azim " sambil menggeleng kepalanya perlahan.



Bagi sesetengah orang yang bijak, mungkin fakta ringkas saya tadi sudah cukup untuk memberi faham kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ia mungkin sekali tidak berkesan buat setengah yang lain.

Jawapan lazim yang kerap digunakan oleh rakan-rakan saya apabila ditanya soalan sebegini adalah kembali kepada pengertian adil dalam Islam. Iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya ‘favorite'nya pula, menyebut "adil tak meletakkan kupiah di atas kepala lutut?."

Benar dan saya bersetuju itulah takrif adil tersebut, iaitu "meletakkan seseuatu pada tempatnya", lalu tak semua benda patut kita letakkan pada tahap yang sama, seperti kita mengharapkan anak kita berumur 14 bulan untuk mengerti bahayanya memakan semua benda kecil yang dijumpainya di atas lantai.

"EEee, budak ni tak reti ke benda-benda ni kotor? " tempik seorang ibu kepada anaknya kerana memasukkan dalam mulutnya kotoran di lantai dapur rumahnya.

Saya yakin, kita semua faham bahawa tidak adil untuk kita memarahinya kerana ia baru berusia 14 bulan. Berbeza jika ia berusia 14 tahun dan cergas aqalnya tetapi masih memungut dan makan semua yang dijumpainya di atas lantai. Itu sememangnya patut dikesali.

Dari sudut Islam, kita harus memahami bahawa Allah SWT maha bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang memudaratkan manusia secara tersurat dan tersirat akan diletakkan had dan batasan untuk dikurangi atau dijauhi. Apa yang bermanfaat dan baik sahaja yang akan digalakkan dan dibenarkan.

"Mereka menanyakan kepadamu: ""Apakah yang dihalalkan bagi mereka?"" Katakanlah: ""Dihalalkan bagimu yang baik-baik" ( Al-Maidah : 4)

Justeru, apa yang ‘neutral' atau ‘harus' hukumnya akan dibiarkan terbuka (tanpa sebarang larangan) sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat manusia. Fakta ini datang dari sabda Nabi SAW :

هSesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkaar wajib, maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencerobihinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumannya" ( Riwayat Ad-Dar Qutni, ; Ad-Dar Qutni : Sohih, An-Nawawi : Hasan )


Perempuan Lebih Sukar?

Pernah sekali di Brunei, selepas tamat kursus yang saya kendalikan, datang seorang peserta wanita lalu berkata :

"Tapi ustaz, orang lelaki mudah le dapat tutup aurat dengan sempurna, sebab depa senang, sikir benor auratnya". Tegasnya.

"Jika puan rasa susah, tapi buat juga kerana Allah, lagi banyak pahala puan dapat, untung orang perempuan, tutup je aurat terus dapat pahala setiap saat, berganda dari pahala orang lelaki kerana mereka tidak berapa sukar" jawap saya menarik minatnya.

"eh, betul ke ni ustaz" sambil tersenyum luas.

Berminat betul nampaknya dia kali ini sehingga nampak jelas raut wajahnya ingin penjelasan lanjut.

"Benar, InshaAllah.." Kata saya.

Kata saya ini berdasarkan satu hadith yang menyebut

إن لك من الأجر على قدر نصبك ونفقتك

Ertinya : "Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan belanja ikhlas kamu" (Riwayat Ad-Dar Qutni dan Al-Hakim)

Menurut Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-bari menjelaskan bahawa hadith ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a berkenaan umrah yang dilakukan oleh Aisyah. Dimana Nabi SAW diriwayatkan menyebut :

إنما أجرك في عمرتك على قدر نفقتك

Ertinya : "Sesungguhnya ganjaran pahalamu (wahai Aisyah) ketika umrahmu ini adalah berdasarkan kadar kesukaran dan wang yang dibelanjakan"

Imam An-Nawawi pula berkata :-

الحديث أن الثواب والفضل في العبادة يكثر بكثرة النصب والنفقة

Ertinya : "Zahir hadith ini menunjukkan ganjaran dan pahala dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya keletihan dan belanja yang dikeluarkan"

Bagaimanapun ulama sepakat menyatakan bahawa konsep pahala lebih besar apabila amalan lebih sukar dan letih" ini, tidaklah terpakai di dalam semua keadaan, kerana terdapat beberapa jenis ibadat yang ringan tetapi mempunyai pahala yang amat besar, seperti ucapan zikir tertentu yang disebut oleh Nabi SAW, demikian juga berbezanya solat tahajjud di bulan biasa dan di bulan Ramadhan. Kelebihan solat sunat Witr atas solat sunat tasbih yang jauh lebih sukar dan lain-lain. Demikian juga yan ditegaskan oleh Imam Izzudin Abd Salam ( Qawaid al-Ahkam fi Masalihil Anam)

Hukum Asal & Fitrah

Hasilnya, yakinilah bahawa Allah SWT maha adil dalam menentukan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita. Sememangnya Allah SWT memerintahkan kaum Hawa untuk menutup auratnya dengan begitu luas; Malah ini kerana menurut hukum Islam yang asal, kerja mencari nafqah adalah merupakan tanggungjawab utama kaum lelaki. Bertepatan dengan tugasan asalnya itu, secara umumnya kaum lelaki diberikan lebih kemampuan fizikal, mental dan kemudahan dalam menutup aurat agar mudah ia ke hulu dan ke hilir mencari nafqah buat keluarganya. (Fatawa Az-Zarqa, hlm 290, cet Dar Al-Qalam)

"Habis ustaz nak orang perempuan duk rumah je la ni?" desak seorang wanita, sambil menjeling saya dengan jelingan kurang puas hati.

Saya tidak menafikan keperluan wanita untuk bekerja hari ini, ia adalah satu fenomena yang sudah terlewat dan amat sukar untuk dielakkan. Namun, pandangan bebas saya menyatakan, keperluan wanita untuk bekerja timbul hari ini adalah apabila timbul masalah kekurangan kaum lelaki yang berkemampuan untuk menjalankan semua tugasan yang sepatutnya dijalankan oleh mereka di luar rumah.

Adakah kita sedar bahawa punca kelemahan anak-anak lelaki dalam hal ini kemungkinan berpunca dari rumahnya?.

Pernahkah anda mempunyai anak lelaki ? Bagi yang pernah, saya kira perbezaan dalam menumpukan perhatian dan penjagaan anak lelaki sejak kecil adalah ketara berbadning kanak-kanak wanita.

Hasilnya, keagresifan anak-anak lelaki memerlukan lebih didikan dan tumpuan, jika tidak, ia berpeluang untuk menjadi kaki buli di sekolah, malas belajar, bermain lebih dari belajar dan akhirnya mendapat ijazah rempitan di atas jalan raya. Nauzubillah.

Kerana itu, rumah dan pendidik di rumah terbaik adalah seorang ibu. Pendidikan di rumah teramat penting bagi mencorakkan sikap dan sifat anak-anak di hari kemudian, terutamanya kemampuan si anak lelaki. Iaitu samada ia mampu menggunakan tenaga fitrahnya yang gagah untuk mentadbir dunia dengan adil dan baik atau sebaliknya. Jika tidak, akan berterusanlah kekurangan tenaga lelaki yang mahir dan rajin di dalam industri pekerjaan, dalam masa yang sama pula peranan wanita yang lebih mudah dibentuk sejak kecil dan rajin, pasti terkehadapan. Lalu berbondong-bondonglah kaum wanita di tawar bekerja.

Di ketika itulah timbulnya isu, sukarnya wanita untuk menjaga auratnya semasa ia bekerja, ke sana ke sini, bermesyuarat di sana sini. Walhal, Allah SWT sememangnya tidak memperuntukannya untuk kaum wanita terlalu sibuk dan terbuka sedemikian. Malah juga tidak begitu tepat menurut fizikal dan mentalnya. Kemantapan mental, ketabahan sabarnya, kelembutannya pada hakikatnya adalah khas untuk anak-anaknya demi melahirkan keluarga, masyarakat dan Negara yang dipimpin oleh individu yang cukup kasih sayang ibunya. Malangnya, sifat lembut, taat, sabar dan kehebatan pshcologi itu telah dihabiskan dan digunakan kepada kerjaya, ‘boss' dan kakitangan yang lain. Tinggallah yang hampas dan sisa buat anak-anaknya.

Kaum lelaki secara purata sememangnya agak kurang mampu untuk bersabar dengan tangisan anak dan karenah mereka. Lalu dihantarlah anak-anak ini ke pusat penjagaan kanak-kanak. Kesan jangka panjangnya, akan lahir anak-anak lelaki yang tidak ‘menjadi' akibat dididik oleh individu yang tidak professional lagi melepas batuk di tangga. Iaitu di kebanyakan TASKA yang menghimpunkan berpuluh kanak-kanak sekaligus dengan 3-4 orang wanita muda bujang sebagai pendidiknya. Mampukah anak-anak dididik dengan berkesan dalam suasana begini.?

"Begini, saya kata ikut hukum asal yang Allah letak memang begitu, cuba bayangkan betapa sukarnya wanita bekerja hari ini untuk melaksanakan tugasnya dalam keadaan ‘senggugut', sakit perut, mengandung dan bersalin. Sekiranya ia telah menapoous pula, sukarnya tiba-tiba perlu ke sana sini seorang diri, bermesyuarat bersama lelaki berdua-duaan dan sebagainya"

"Mereka sepatutnya lebih dimuliakan dengan diberi kerehatan cukup di rumah sambil membina pimpinan dan generasi soleh masa depan, iaitu anaknya dan keluarganya" Ulas saya, walaupun saya tahu, isu ini amat panjang untuk dibincang serta amat sukar untuk memuaskan hati kaum wanita moden zaman ini.

Nabi SAW bersabda :
Ertinya : "Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad, 6/371 ; Ibn Athir : Hasan 11/200 )

Hadith di atas jelas membuktikan betapa tempat yang sebaiknya bagi wanita untuk mendapatkan pahala terbesar adalah di rumahnya. Manakala, bidang institusi keluarga, pendidikan anak dan menjaga keamanan rumah tangga WAJIB TIDAK DIPANDANG REMEH, malah ia sebenarnya amat sukar, malah ia menyamai kepimpinan sebuah negara. Pandangan remeh terhadapnya adalah kesilapan utama wanita moden zaman kini hingga terlalu berhasrat menjaga syarikat dan berbakti kepada negara sedangkan ; mendidik anak-anak dengan cemerlang adalah sumbangan terhebat kaum wanita buat Negara yang tidak mampu disaingi sama sekali oleh kaum lelaki.

Akibatnya berbondong wanita bekerja, kemudiannya apabila kaum wanita hari ini didedahkan dengan pelbagai hadith Nabi berkenaan adab Islam yang perlu dituruti olehnya. Ramai yang merasakan ia seolah-olah mustahil dan tidak ‘up to date' sehinggakan dirasakan Nabi SAW tidak tepat dalam kata-katanya. Lebih buruk, adalah dituduhnya Nabi SAW bersikap ‘bias' atau berat kepada kaum lelaki, kerana baginda sendiri adalah lelaki. Lebih serius dari itu, yang menuduh Islam sudah ‘out dated'. La hawala wal quwwata Illa Billah.

Wanita dan Wangian

Antara kesilapan kerap yang dilakukan oleh kaum wanita apabila sudah keluar bekerja hari ini adalah berwangian dengan pelbagai jenis ‘perfume' sewaktu keluar dari rumahnya.

" Ala ustaz, takkan ustaz nak kami busuk ustaz" Tanya seorang wanita kepada saya.

Busuk atau tidak itu adalah bergantung kepada sikap kebersihan seseorang. Diharuskan wanita memakai sabun ketika mandi, dan bauannya yang seidkit juga harus. Bagaimanapun, yang menjadi masalah kini adalah yang bergeluman dengan wangian, sehinggakan 30 meter jarak darinya pun sudah dapat dihidu baunya.

Nabi SAW mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya :

Ertinya : "Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu dikhalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandangkan adalah mata yang berzina" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Albani : Hasan Sohih)

Tahukah kaum wanita bahawa lelaki normal mudah terangsang dan naik syahwatnya apabila menghidu bauan wangi si wanita?

"Tapi memang itu tujuan sebahagian mereka pakai wangian" Kata seorang wanita.

Jika itulah tujuannya, ia harus berdepan dengan seghala masalah dan bahaya dari kaum lelaki yang buas, tika itu...janganlah ia marahkan si lelaki tersebut.

Apabila sudah bekerja juga, banyak aurat yang terbuka di sana sini dengan hujjah ‘panas', sukar nak jaga, sukar nak bergerak, permintaan boss dan syarikat, ‘untuk nampak elegan' , supaya tak nampak macam mayat berjalan dan lain-lain lagi. Akhirnya dikorbanan hukum dan akhiratnya UNTUK DUNIANYA. Amat simpati saya terhadap kaum hawa sebegini. Allahul Musta'an.


Nabi SAW pernah bersabda :

ما من امرأة تضع ثيابها في غير بيت زوجها إلا هتكت الستر بينها وبين ربها

Ertinya : Tiada seorang wanita pun yang membuka auratnya (pakaiannya) di rumah atau tempat selain rumah suaminya (atau ayahnya tanpa kewujudan orang luar) kecuali dia telah merempuh tabir (sempadan yang digariskan) di antaranya dan tuhannya" (Riwayat Ahmad, 6/301 ; Albani : Sohih)

Akhir kata ; Wanita yang terbaik adalah Maryam, Fatimah dan Khadijah...pelajarilah tentang mereka bagaimana untuk mendapatkan hidup indah di akhirat yang kekal buat selamanya. Ameen..

Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahma
4 Safar 1428 H
22 Februari 2007

http://www.zaharuddin.net/

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...