mutiara kata

Aroi Lokcing House (francais steamboat bakar (lokcing) pertama Malaysia)

Followers

blogwalking....

Wednesday, February 13, 2008

Sifir Kehidupan: Mari menghitung!

Dalam kehidupan ini kita ada sifir untuk dihitung. Jawapan dari congakan sifir itu selalunya tepat sebagaimana hitungan di atas kertas. Tidak akan ada jawapan yang lain bagi jumlah 2 X 2 yang sudah tentu 4, walaupun melalui kaedah 2 + 2 juga 4. Di dalam iktiqad seorang hamba kita mengenalinya sebagai sunnatullah.

Mari kita mula mengira: Selalunya balasan bagi perbuatan baik mengikut sifir kehidupan adalah juga balasan yang baik. Seorang yang menolong orang biasanya akan ditolong pula. Seseorang yang memperdaya, menganiaya orang lain selalunya akan menerima balasan yang buruk sebagaimana keburukan yang dilakukannya kepada orang lain. Itu yang saya katakan sebagai salah satu sifir kehidupan. Banyak lagi contoh-contoh yang lain yang juga merupakan sifir kehidupan.

Tetapi, kadangkala sifir ini berubah. Namun bukan kerana jawapannya yang berbeza, tetapi sifir ini berubah bila pengiraannya tidak sebagaimana yang sepatutnya. Di dalam ilmu matematik, jalan kira adalah antara faktor untuk mendapatkan jawapan yang tepat. Bila jalan kiranya salah, selalunya jawapannya juga salah... kecuali jawapan meniru!

Kita boleh menolong orang, tetapi jangan mengharap kita akan ditolong! Berapa ramai yang kita mahu tolong, tolonglah! Tetapi jangan mengharap dibalas. Ini salah satu sifirnya. Bila pula ia menjadi salah? Apabila kita menolong orang dan kita mengharap orang itu akan menolong balas kita pula nanti.

Bumi ini tidak dijadikan sia-sia. Peredaran cakerawala di paksinya berputar mengikut laluan dan tempohnya yang tertentu pernahkan kita fikirkan? Kejadian malam dan siang yang sering bersilih ganti, pasang surut air laut, gerhana, hujan, bencana alam, sehingga ke perkara yang paling seni sebenarnya berjalan mengikut sunnah yang telah disusun. Semua itu juga berjalan atas kiraan yang ditentukan. Bayangkan jika malam berterusan dan siang tidak muncul, apa akan berlaku?

Jangan salahkan orang lain bila sifir itu berubah. Jangan kecewa kalau hari ini kita menolong seseorang, sehingga suatu masa nanti bila kita amat mengharapkan pertolongan orang itu, dia tidak dapat menolong. Jangan salahkan orang lain! Tolong jangan salahkan orang lain!

Menonton kehidupan manusia realiti tidak seumpama menonton lakonan manusia dalam filem. Apa yang berlaku dalam susunan plot filem mungkin tidak boleh terjadi dalam dunia realiti. Begitu juga setiap yang ditulis dalam plot-plot cerpen atau novel kadangkala khilaf dengan dunia sebenar walaupun karya kreatif juga selalunya menceritakan kehidupan manusia.

Dalam filem hero biasanya tidak dapat dikalahkan. Falsafah bagi watak hero adalah menang. Dalam setiap hal yang dipaparkan hero mesti menang. Jika hero kalah, filem sudah tidak berupaya dikagumi lagi. Kerana filem sudah tidak menjadi filem. Begitu juga halnya bila saya menulis dalam karya saya bagaimana Syam akhirnya menerima Aisyah sebagai isteri walaupun keterjebakkan Aisyah dalam dunia noda lesbianisme membataskan dinding bezantara antara watak Syam dan Aisyah (Masihkah Ada Sinar - Akhi Masrawi). Dalam dunia realiti adakah ada lelaki seperti Syam itu? Seorang yang berpelajaran dan berlatarkan agamawan sanggup menerima perempuan sekotor Aisyah dari hanyir lesbianisme sebagai isteri! Jawapannya mudah... kita punya sifir kehidupan. Hisablah sendiri!

Oleh sebab itu kita akan tetap percaya bahawa keimanan kita kepada Allah adalah iktikad yang soheh. Ibadah kita adalah ibadah yang soheh, puasa kita, zakat kita dan haji kita adalah haji yang soheh bila iktikad kita adalah iktikad yang soheh dan kita melakukan sebagaimana disuruh iaitu mengikut jalan kira yang sudah ditentukan. Oleh itu berimanlah kepada qada' dan qadar sama ada baik atau buruk yang disuratkan kepada kita kerana itulah yang patut kita redhai, kerana apa yang ditentukan oleh Allah kepada kita berisi hikmah yang ranum.

Mencurahkan kebaikan kepada orang lain pasti ada ganjaran dari Allah. Tidak luak walau sedikit amal kita selagi keikhlasan menghiasinya. Tidak rugi andai kita tidak dibalas makhluk, kerana sifir yang paling tepat ada pada Allah. Bila sifir yang selalu kita hitung sudah tidak betul lagi... misalnya bila manusia melakukan kebaikan dia selalunya dicemuh, bila manusia melakukan kemungkaran dia disokong... ingatlah betapa sifir Allah itulah jawapan yang tepat.

Apa nak resah? Jika begitu!

petikan drp :
Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online -
J U R N A L J A L A N H I D U P 2003


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...