mutiara kata

Aroi Lokcing House (francais steamboat bakar (lokcing) pertama Malaysia)

Followers

blogwalking....

Friday, February 1, 2008

pengorbanan agong

MELAKUKAN penyembelihan binatang korban adalah ibadat dan ia kesinambungan daripada pengorbanan agung Nabi Ibrahim al-khalil terhadap puteranya, Nabi Ismail a.s sejak ribuan tahun.

Sejarah pengorbanan mulia itu tidak tertinggal dalam lipatan sejarah, malah ia dihayati sepanjang zaman.

“Maka, apabila anaknya ini sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata, wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”


“Anaknya menjawab, wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah ayah akan mendapatiku daripada orang-orang yang bersabar. Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami), serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim, engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang sebenar.” (as-Shaafat: 102-107)

Melakukan ibadat korban dalam Islam menurut ulama muktabar terbahagi kepada beberapa hukum.

Bagi Imam Abu Hanifah, ia wajib, manakala yang lain mengatakan sunat muakkad (iaitu ibadat sunat yang sangat digalakkan atau dituntut melakukannya).

Rasulullah s.a.w dalam hadis diriwayatkan Ibnu Majah daripada A'isyah r.a. bersabda, maksudnya:

“Tiada suatu bentuk ibadat yang dilakukan manusia pada hari raya korban yang lebih baik dan dicintai Allah daripada menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban yang telah dipotong kelak pada hari kiamat akan datang lengkap dengan tanduk, kuku dan rambutnya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah diterima Allah s.w.t sebelum mengalir ke tanah.”

Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata ibadat korban dilakukan pada Aidiladha dan tiga hari seterusnya iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Selepas tarikh itu, penyembelihan tidak diiktiraf ibadat korban.

“Masa untuk melakukan korban ialah selepas solat sunat Aidiladha hingga sebelum matahari jatuh (Maghrib) pada 13 Zulhijjah.

“Sesiapa yang menyembelih binatang sebelum atau selepas tempoh ini tidak dinilai penyembelihannya sebagai ibadat korban, malah ia sembelihan biasa,” katanya.

Rasulullah s.a.w dalam hadis diriwayatkan Imam Muslim dari sahabat, Barra’ ibn Azib, maksudnya: “Pada Aidiladha, yang pertama kami lakukan ialah melaksanakan solat Aidiladha, kemudian pulang ke rumah (untuk makan pagi). Sesudah itu baru menyembelih haiwan korban. Sesiapa melaksanakan seperti itu maka telah sesuai dengan sunnah kami. Dan, sesiapa menyembelih haiwan korban sebelum solat Aidiladha, maka tidak disebut ibadat korban melainkan hanya sedekah daging biasa yang diserahkan kepada keluarganya.”

Penyembelihan korban boleh dilakukan terhadap haiwan ternak seperti lembu, unta, kambing dan biri-biri.

Bagi lembu dan unta, boleh dikongsi tujuh orang, manakala kambing atau biri-biri seekor setiap orang.

“Jika mahu berkorban lembu untuk dirinya, ia lebih afdal. Boleh juga seekor lembu dikongsi suami isteri.

“Cuma, jika syariat menetapkan seekor lembu dikongsi tujuh orang, ia tidak boleh menjadikan lapan orang untuk satu bahagian,” katanya.

Bekas Imam Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar, Kuala Lumpur itu berkata, penyembelihan binatang korban suatu ibadat dan tidak sepatutnya dicampur aduk dengan perkara lain.

Menurutnya, umat Islam yang melakukan ibadat korban dilarang menunjuk-nunjuk kononnya dia banyak harta sehingga boleh timbul riak atau sombong.

“Tindakan menunjuk-nunjuk adalah riya’ dan dimurkai Allah. Orang yang berkorban perlu tanam dalam diri keikhlasan mencari keredaan Allah,” katanya.

Beliau berkata, selain melaksanakan hukum Allah, ibadat korban membantu golongan fakir miskin.

Katanya, jika melakukan korban tetapi tidak mengagihkan daging korban kepada orang lain sebaliknya menyimpan untuk diri sendiri, matlamat ibadat korban dianggap gagal.

“Justeru, satu pertiga daripada daging korban diagihkan kepada fakir miskin (dalam keadaan mentah) manakala bakinya boleh dinikmati sesiapa saja, termasuk diri sendiri dengan syarat korban itu bukan korban nazar.

“Jika korban nazar, seseorang itu tidak boleh menikmati bahagian korbannya tetapi boleh menerima pemberian daripada bahagian orang lain.

“Namun, lebih warak (baik) tidak mengambil sedikitpun daripada daging korban itu walaupun daripada bahagian orang lain.

“Boleh juga daging korban dimasak, kemudian dijemput orang ramai menikmatinya. Cuma, seseorang itu tidak mendapat pahala sunat sedekah secara mentah,” katanya.

Mohd Rani yang mempunyai pengalaman luas mengendalikan penyembelihan korban, berkata bukan satu kesalahan melakukan ibadat korban melalui wakil, dengan membayar sejumlah wang mengikut harga tertentu kemudian menyembelih di tempat tertentu tanpa dia hadir.

“Kaedah itu tidak menjadi kesalahan malah apabila niat untuk berkorban dan seseorang itu mengeluarkan duit, ia memadai dan mendapat pahala korban.

“Hanya dalam mazhab Syafie, seseorang itu perlu niat ketika darah binatang yang disembelih menitis.

“Dalam mazhab lain perkara ini lebih luas. Apabila sudah diberikan wang, sudah dikira niat.

“Kita jangan terlalu berfikiran sempit dalam mazhab kerana Islam adalah agama yang luas, bukan jumud,” katanya.

petikan dari : mymetro

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...