Saya cintakan kamu kerana ALLAH...
Itulah maksud uhibbukafillah. Pada saya, secara peribadi, kalimah ini adalah kalimah yang mahal. Saya tidak senang melafazkannya kepada sesiapa sahaja. Sebab kepada sesiapa yang saya lafazkan kepadanya perkataan ini, maka dia telah saya anggap melebihi diri saya sendiri. Manusia yang saya sebutkan secara terus kepadanya perkataan ini, boleh dikira dengan jari.
Kalimah uhibbukafillah pada saya mempunyai makna yang mendalam. Ia seakan berjanji sehidup semati atas jalan keimanan kepada ALLAH. Ia seakan satu materi, yang meminta sahabat untuk menyokongnya dari tersungkur dalam jalan mencari keredhaan ALLAH. Sebab itulah saya amat menjaga dan tidak melafazkannya kepada sesiapa sahaja.
Bila saya melafazkan uhibbukafillah, maka saya memang benar-benar bermaksudkan maknanya. Bukan sebahagian orang yang telah menjadi adat bermanis mulut. Sesungguhnya saya tidak pandai memaniskan mulut saya, atas apa perkara sekalipun.
Namun, ada sahaja yang saya lafazkan uhibbukafillah ini tidak menghargai.
Saya mengingatinya, dia melupakan saya. Saya mengasihinya, dia membenci saya. Saya membantunya, dia mengkhianati saya. Saya mendekatinya, dia menjauhi saya.
Beberapa manusia yang dekat dengan saya kadangkala menegur,
" Kenapa enta susah-susah untuk orang yang tak menghargai enta?"
Sebenarnya saya tiada jawapan yang baik atau nampak logik untuk soalan sedemikian.
Tetapi bukankah kalimah uhibbukafillah itu maknanya aku cintakan kamu kerana ALLAH?
Maka ada dua sebab kenapa saya tidak berhenti menghargai orang itu walaupun dia tidak menghargai saya, malah saya tidak dianggap wujud dalam kehidupannya.
Pertama, kerana saya cintakan dia.
Kedua, kerana cinta saya kepada dia, adalah untuk mendapatkan keredhaan ALLAH.
ALLAH yang akan membalas cinta saya. Saya tidak perlukan dia membalas cinta saya. Selagi dia masih berada atas jalan keimanan, insyaALLAH,lambat laun ALLAH akan melembutkan hati-hati mereka untuk menjadi sahabat saya yang betul-betul sejati. Saya adalah pakaian kepada dia, dan dia adalah pakaian kepada saya. Walaupun mungkin hari itu lambat lagi, tetapi saya betah menunggu, walaupun hati saya sentiasa dicalar-calarkan lagi.
Memegang persahabatan kerana ALLAH bukan mudah. Manusia biasanya hendak dipuji dan dihargai. Namun tidak ramai manusia yang sedar bahawa penghargaan daripada ALLAH itu jugalah yang sebenarnya kita cari.
ALLAH menjanjikan rahmat untuk mu'min yang berukhuwwa, atau mu'min yang mendamaikan dua mu'min yang bertelagah.
" Sesungguhnya orang mu'min itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua di antara mereka yang bertelagah, moga-moga kamu mendapat rahmat"
Rahmat itulah yang saya cari dalam berukhuwwah.
Sememangnya ukhuwwah ini lebih manis jika ada timbal balik. Aku sayang dia, dia sayang aku. Tetapi realiti dunia tidak semanis angan-angan kita. Maka kita perlu mempersiapkan mental dan hati kita agar tidak kecewa dan putus asa dalam dunia persahabatan.
Kenapa bersahabat? Soalan itulah yang menentukan survival kita dalam berukhuwwah.
Kalau kita mulakan kerana ALLAH, maka kita akan bertahan.
Jika kita mulakan kerana adik perempuan dia, harta dia, wajah dia, keramahan dia, maka ketahuilah, itu semua tidak kekal dan kita sendiri akan tersungkur dalam perasaan.
Saya ada sahaja sahabat-sahabat yang tidak membalas e-mail saya, tidak mahu berhubung dengan YM, tidak mahu ditelefon dan tidak mahu diambil berat. Tetapi apakah saya akan berhenti?
Saya menggeleng kepala.
Saya sayang dia kerana ALLAH. Masakan saya tidak terus mengambil berat? Khabar dia mesti saya ketahui, keadaan dia mesti saya arifi, supaya saya dan dia boleh terus memperbaiki diri untuk kekal atas jalan iman dan ISLAM ini.
Uhibbukafillah. Sebab itulah kata-kata ini menjadi mahal kepada saya. Untuk yang saya lafazkan kalam ini kepada dia, kalau dia tersungkur ke neraka, maka saya sanggup terjun untuk mengambilnya semula. Saya sanggup meluangkan masa mendengar luahan hati. Saya sanggup mengeluarkan duit untuk membantunya jika punya masalah diri.
Tetapi ada sahaja yang tidak menghargai. Dan itu tiadalah saya ambil peduli. Andai kamu punya masalah, mampirlah kepada saya, luahkan dan kongsikan, walaupun kamu berniat selepas itu untuk meninggalkan sahabat kamu ini dan tidak lagi menghubunginya melainkan jika ada masalah lain menjengah tiba. Saya tidak kisah. Balasan kamu wahai sahabat, tidak saya pinta. Tetapi keredhaan ALLAH yang saya cari jua.
Sebenarnya, kenapa saya bersungguh-sungguh dalam bersahabat?
Kerana saya hendak menjadikan sahabat-sahabat saya sebagai saham akhirat. Saya bukanlah seorang yang kuat beribadah, dosa saya juga banyak, dan saya bukanlah manusia yang terlalu soleh. Maka satu janji ALLAH saya kejar,
Rasulullah SAW bersabda, antara tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan ALLAH, saat di mana tiada perlindungan melainkan perlindungannya, adalah dua sahabat yang berkasih sayang kerana ALLAH, bertemu dan berpisah keranaNya.
Itu yang saya cari. Bukan balasan hadiah yang saya beri, bukan balasan manisan kata, bukan balasan senyuman mesra, bukan ketaatan dan ketundukan. Saya tidak meminta kepada kamu wahai sahabat apa-apa. Saya hanya meminta kepadaNya, mengejar janjiNya.
Dan sesungguhnya ALLAH jugalah sebaik-baik penjaga, dan DIA jugalah yang tidak akan memungkiri segala kataNya.
Kalau satu hari nanti saya memijak awan dan memandang bumi dengan menunduk ke bawah, maka sahabat-sahabat ini tetap tidak akan saya lupakan. Jika saya terlupa juga, maka kalian boleh datang untuk mengingatkan.
Uhibbukafillah (^.^)
No comments:
Post a Comment