Angin senja Dusseldorf menyerbu muka Salwa yang kering. Bastian menatap muka Salwa. Ayu syahdu. Comel mekar. Benar, Bastian sudah terpikat. Atau Bastian telah terjerat. Wanita Melayu dengan rempah ratus, lenggok gemalai, dan tertawa yang penuh susila selalu memukaunya. Waktu pemukimannya di tanah Jawa untuk kajian budaya, Bastian pernah terpesona dengan keindahan perempuan Timur. Kemudian apabila dia merubah latar kajian di Tanah Melayu, Bastian mendapati perempuan di situ lebih halus. Perempuan Melayu dengan nilai-nilai moden malangnya telah dirosakkan. Beberapa bulan di Kuala Lumpur dia sering digoda oleh wanita Melayu tanpa rasa segan. Lebih hijau matanya lebih kuat asakan mereka. Lebih ikal dan perang rambutnya lebih bersungguh mereka menghimpit. Namun Salwa sedikit berbeza. Bastian mungkin pada mulanya sekadar berasa kasihan. Atau sebetulnya terasa ingin menyelamatkan. Salwa bagaikan tidak endah kehadirannya.
Bastian kemudian berasa ingin menolong Salwa. Lihat, Salwa perempuan Melayu yang tidak mengenal jati dirinya. Salwa misalan berbaju kurung tetapi terlupa falsafah busana Melayu itu, apa yang kurung? Bukankah kurung pada busana itu berisyarat yang tubuh dikurung syariat? Dan semakin Salwa tergiur oleh peradaban Barat semakin sakit jiwa Bastian, semakin Salwa berkehendak kepada Barat semakin luluh lantak hati Bastian. Mereka memang bermula sebagai teman, jadi kawan dan kini barangkali menyimpan hati. Satu sama lain saling mengerti tetapi sukar mengucapkan. Kemudian terpisah bertahun-tahun. Salwa jadi dingin.
Beberapa tahun mereka memilih jurusan sendiri-sendiri, Salwa makin disedut ke dalam lingkungan Barat. Paksinya kemodenan tanpa roh itu. Salwa berasa formula untuk masyarakatnya, khusus perempuan, hanyalah menyerah diri bulat-bulat, telanjang polos kepada Barat. Bastian pula semakin tersedut ke dalam pusaran Timur, dan spiritualiti yang hilang dalam masyarakat Barat menjadikan hatinya tertawan oleh keagungan rahsia Timur. Bastian merelakan dirinya diselubungi kuasa magis. Maka mereka jadi berbeza. Seorang mengulit falsafah eksistensialisme dan mengkagumi kemilau pasca moden. Bastian pula menekuni Hamzah Fansuri, tenggelam dalam haruman semerbak mistik Timur yang hanya dapat dimengerti dengan hermeneutik kerohanian. Bastian semakin menyelam dalam lautan tafsir dan ta’wil.
“Jadi, kau sudah melupai Maryam? Bukankah Maryam pusat pesonamu dulu?” Pertanyaan Salwa menghantar Bastian kembali ke kafe kecil di pinggir Rhine. Mereka ada di Dusseldorf lagi. Masih wajah Salwa ditampar angin kering yang mungkin saja berpuput jauh dari Amsterdam. Wajah Salwa itu ditatapnya bersungguh.
“Tentu. Dan kekaguman aku kepada Maryam menjadi sangat mendasar sebab dalam Islam Maryam adalah tanda, adalah ayat Tuhan. Maryam melampau batas imaginasiku. Ayatullah Maryam…”
Salwa tertawa.
“Maryam dalam Islam, agamamu…” Bastian menekankan ‘agamamu’, “…adalah satu personifikasi kemanusiaan. Maryam jadi simbol keimanan.”
Salwa ternganga.
“Aku baca dan gali makna surah at Tahrim, iaitu pada ayat 11dan 12.”
Salwa makin terpana.
“Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata, ‘Wahai Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam firdaus, dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. Dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian dari roh (ciptaan) Kami, dan ia membenarkan kalimat Tuhannya dan kitab-kitab-Nya, dan ia termasuk orang-orang yang taat.”
“Kau sudah berubah!” Salwa separuh berseru.
Tidak, aku hanya makin mendalami, dan makin menemui yang Maryam adalah wanita supranatural yang suci. Apabila Maryam didatangi oleh malaikat Jibrail, pengaruh spiritual dalam dirinya melampaui diri dan memberi kesan kepada individu lain. Maryam tidak terpengaruh, malah berusaha mengingatkan Jibrail tentang kedudukan moralnya. Lihat sahaja ayat 18 hingga 20 dalam surah Maryam. Allah menceritakan kedudukan dan integriti moral Maryam: Sesungguhnya aku berlindung dari padamu kepada Tuhan yang Maha Pemurah jika kamu seorang yang bertakwa. Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Tuhanmu untuk memberimu seorang anak lelaki yang suci. Bagaimana akan ada bagiku seorang anak lelaki sedangkan tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan pula seorang penzina.”
Salwa merenung Bastian, ada persoalan, ada riak kehairanan dan Salwa melafazkan pertanyaan yang mungkin sia-sia,” Basti, kau mahu memeluk Islam?”
Bastian ketawa. “Kau terkejut? Kau tahu keyakinan terhadap Tuhan bagi sesetengah penganut Kristian adalah sama dengan keyakinan orang Islam terhadap Tuhan.”
Salwa cepat membantah, “Tuhan anak, Tuhan…err bukan Tuhan itu tiga dalam agama Kristian…”
“The Gospel of Barnabas menyatakan: Jesus menjawab, Phillip Tuhan itu baik tanpa sebutir pun kebaikan; Dia tidak mempunyai awal dan tidak akan pernah mempunyai akhir…dia tidak mempunyai ayah dan ibu; Dia tidak mempunyai anak.”