Bediuzzaman Said Nursi suatu hari terlintas di fikirannya apabila melihat makhluk kecil yang bernama kucing, kenapakah ia dikatakan makhluk yang berkat sedangkan ia tidak melakukan pekerjaan sebagaimana haiwan lain. Kucing hanya bermain, makan dan tidur. Said Nursi sering ditemani oleh tetamu kecil empat ekor kucing semasa dalam buangan.
Tiba-tiba pada suatu malam ketika Said Nursi di pembaringan, datang salah seekor kucing menghampiri bantalnya. Kucing itu menghampirkan mulutnya ke telinga Nursi lalu berzikir secara jelas "Ya Rahim, Ya Rahim, Ya Rahim, Ya Rahim..."
Nursi dapat merasakan seolah-oleh kucing itu sedang menjawab lintasan fikiran beliau yang merendahkan dan menghina keupayaan kelompok kucing. Nursi juga merasakan lafaz zikir "Ya Rahim...Ya Rahim..." yang keluar dari mulut kucing itu seperti suatu tamparan ke wajahnya.
Pada ketika itu terlintas pula di fikiran Nursi, "Agaknya zikir Ya Rahim...Ya Rahim... ini khusus untuk kucing yang seekor ini sahaja iaitu tidak semua kucing berzikir yang sama. Atau adakah zikir "Ya Rahim" ini sememangnya umum untuk seluruh kucing? Nursi tertanya-tanya lagi.
Nursi juga tertanya-tanya adakah zikir kucing ini hanya didengarkan kepada manusia sepertinya yang mempersoalkan dan mempertikaikan tanpa hak? Atau manusia lain yang memerhati dan mengambil perhatian juga akan mendengar zikir "Ya Rahim...Ya Rahim" ini?
Kemudian Nursi terdengar pula kucing-kucing lain mengulang-ulang zikir yang sama seperti kucing tadi "Ya Rahim...Ya Rahim... dengan nada yang berbeza-beza tingi dan rendah. Namun tidak sekuat kucing yang menghampiri telinganya tadi. Semakin lama Nursi mendengar semakin jelas ngiauan kucing-kucing itu menyebut Ya Rahim... Ya Rahim... sehingga zikir itu menjadi semakin lama semakin fasih dan penuh kesedihan tanpa keluar huruf pun.
Ketika mulutnya ditutup juga tetap melantun zikir Ya Rahim Ya Rahim dengan baik sekali. Kucing-kucing itu seperti merayu kepada Tuhannya yang bersifat al-Rahim. Itulah zikir dan munajat kucing.
Nursi menceritakan kepada saudara-saudaranya Tulab Nur, mereka juga cuba memerhatikan kucing dan mereka turut mendengar zikir Ya Rahim yang sama. Ketika itu terlintas di hati Nursi Kenapakah kucing-kucing ini berzikir dengan nada insan dan tidak berzikir dengan nada haiwan?
Nursi kemudiannya mendapat lintasan hati, kerana kucing ini haiwan yang baik, lemah lembut, halus sebagaimana anak-anak kecil. Ia hidup bercampur dan bergaul dengan manusia malah menjadi kawan. Kucing sangat memerlukan kasihan belas dan kasih sayang manusia.
Setelah kucing-kucing itu mendapat kasih sayang dan perhatian daripada tuannya, seperti ia telah mendapat makanan dan bermain ia lantas meninggalkan tuannya tanda bersyukur kepada Tuhan. Ia pergi berehat sendiri dan mengucapkan syukur kepada Tuhannya, tidak terikat kepada sebab sebagimana anjing yang tunduk kepada tuan. Sebab yang Nursi maksudkan di sini ialah manusia yang menyayanginya dan memberinya makan.
Keadaan kucing ini haruslah manusia mengambil pengajaran, supaya tidak terikat dengan sebab sebaliknya menyatakan syukur hanya kepada Tuhan.
Nursi juga menyebut tentang keberkatan kucing, ketika dalam buangan di Barla empat ekor kucing menjadi tetamunya. Keadaan beliau dalam buangan miskin dan makanan juga terhad. Selalunya roti yang sedikit akan habis dalam tempoh sekian-sekian hari, namun apabila beliau berkongsi makan dengan kucing-kucing itu, walaupun di awalnya roti itu kurang dari biasa, namun ia tetap masih banyak berbaki, berkat kucing-kucing tadi.
Lalu Nursi mengingatkan itulah kasihan belas Allah kepada makhluk lemah seperti kucing, berkat melimpah disebabkan kucing. Kalaulah haiwan pun Allah begitu kasih, apatah lagi manusia makhluk yang paling mulia. Apatah lagi sekiranya manusia itu keluarga, dan apatah lagi sekiranya keluarga yang lemah itu ibu bapa kita yang tua dan telah berkorban untuk anak-anak suatu masa dahulu. Nursi berpesan supaya kiaskan juga sekiranya di rumah kita ada anak-anak yatim, anak-anak cacat dan tidak upaya. Keberkatan akan melimpah dengan adanya makhluk lemah di dalam rumah kita.
Rujukan: Rasail Nur: Al-Kalimat 24 dan al-Maktubat 21.