mutiara kata

Aroi Lokcing House (francais steamboat bakar (lokcing) pertama Malaysia)

Followers

blogwalking....

Thursday, July 3, 2008

Cerpen: Sepasang Sayap Cinta




KABUS petang menyambut ketibaan mereka di daerah yang terpencil di selatan Jordan itu. Kabus yang boleh dicapai oleh tangan itu bukan sahaja memutihkan tanah tumpah darah syuhada itu, malah turut memutihkan telapak tangan yang dijerut kesejukan. Kod tebal itu gagal melindungi tubuh seperti yang diharapkan, sedang angin kering rakus menggomol tubuh. Peritnya dirasakan seperti dibekam darah dari kulit yang terdedah. Pohon-pohon zaitun yang melatari tanah tinggi itu membasahkan mata kering mereka yang dimomokkan dengan saujana padang pasir di kiri kanan perjalanan.

Sebaik beg-beg pakaian diturunkan dari bas Coaster itu, azan menggamit ke langit yang bertunda-tunda dengan awan yang mula menghitam. Dia meninggalkan rakan-rakan untuk berehat melepaskan lelah sekawah, lalu segera menonong mencari suara bilal. Sementelah menara masjid yang mencorong ke telinga itu jelas kelihatan dari rumah sewa mereka. Hanya di penghujung deretan rumah-rumah kedai itu sebuah masjid agam berkubah hijau tersergam indah memukau matanya.

Masjid itu dikelilingi oleh tembok setinggi dada yang menjulang serpihan kaca di atasnya. Sela-sela pepohon zaitun dan pine yang menghijau kelihatan nisan-nisan lama yang berceracakan menjentik insaf ke jiwanya. Dia bergegas masuk ke ruang solat setelah digigilkan oleh wuduk yang menyentuh angin petang itu. Nyaman angin menyilir ke perut mihrab membawa aroma pepohon zaitun di luar.


Memerhatikan saf pendek itu, nyalinya segera diusik-usik. Sukar benar masjid yang sebesar ini mengumpulkan pemakmur yang tekal. Ah, masjid di tanah airnya juga begitu. Dia tidak mahu ambil endah, lalu memilih saf sebelah kanan yang masih lagi kosong. Sebaris saf itu, rata-rata tampang tubuh yang qiyam tidak kelihatan di hujung matanya kelibat kanak-kanak, apatah lagi golongan remaja. Sebaris saf itu cukup membuktikan; itulah tahap ‘percaya Tuhan’ yang wujud di pekan terpencil ini.

Udara nyaman di perut mihrab itu dihela sepuas-puasnya sebaik takbiratulihram diangkat. Setiap urat dan nadi dipusatkan demi membekam khusyuk dalam-dalam. Namun khusyuknya sedikit terusik dengan kelibat makmum di sebelahnya. Qiyam kedua-dua belah tangannya tidak bersedakap. Mungkin sahaja memegang mazhab yang berbeza, pujuk hatinya. Tubuhnya yang besar itu bergerak dengan sedikit perlahan tanpa menopang sepasang tangan yang mengimbangi tubuhnya sewaktu bergerak untuk rukuk, sujud dan bangkit daripada sujud. Tentu sahaja sepasang kaki di sebalik jubahnya itu cukup kuat membantu mengangkat tubuhnya tanpa sebarang masalah.

Usai solat, guruh berdentum hampir meluruhkan anak telinganya. Dengan sedikit zikir tanpa suara, imam merafakkan doa panjang. Walaupun kemampuan berbahasanya masih rebung di telinga, namun tertusuk juga mengesan ke hatinya. Berulang-ulang imam menyebut, kuat pula jemaah mengaminkan - mahu kemuliaan Islam ditegakkan kembali di atas dada anak-anak muda yang semakin jauh meninggalkan sunnah dan al-Quran itu. Moga doa itu juga bersemarak buat anak-anak mudanya di tanah air yang ditinggalkan. “Amin.” Bibirnya mengulum usai permintaan.

Azman Ahmad

Hujan mulai merintik-rintik. Dia segera meninggalkan masjid kubah hijau itu, dengan niat akan ada lagi kunjungan selepas ini, sementelah perut mula meragam minta diisi. Namun langkahnya terhenti sebaik satu suara memberi salam dari belakang. Serentak hujan melebat di luar mengunci langsung niatnya untuk pulang. Sebaik menjawab salam dalam suara yang tenggelam bersama deru hujan itu, dia terus memandang ke arah suara yang menyapa.

Cahaya rembang membiaskan setulus wajah putih lagi bersegi. Jambang yang dirapi meruncingkan janggutnya di hujung dagu. Jubah yang bertenun benang kasar dengan serban putih yang agak lusuh membayangkan kesederhanaannya. Dalam hujan yang melebat di luar berserta dingin yang semakin merendah itu tidak menggigilkan tubuh besarnya. Mungkin sahaja sehelai jubah kedua yang terbelah di bahagian dada itu melapik tubuhnya.

“Amir, Amir Fuhairah.” Dia segera menghulurkan salam - setulus ikhlas yang mungkin - memanjangkan ukhuwah, memimpin zan yang baik, mahu bersaudara dengan lelaki berjubah itu.

“Jaafar Abi Talib.” Lelaki itu tidak menyambut tangannya. Meskipun begitu, dia mengukir sebuah senyuman paling cantik mencairkan malu dan kaget terlukis di wajah. Kemudian lelaki itu memberi suatu isyarat dengan mata kecil yang berkaca-kaca. Sekali lagi dia kaget. Dan baru dia menyedari, lelaki itu tidak memiliki sepasang tangan!

“Maaf.” Dingin tangannya segera menyentuh bahu, cuba memujuk lelaki tersebut agar andai ada keruh di anjung hatinya, biarlah ia kering disedut dingin angin.

Kecacatan itu tidak menghalang mereka untuk lekas mesra. Andai cacat itu suatu keterasingan, maka dia patut merasa lebih cacat lagi di bumi serba asing ini. Bahasa juga langsung tidak menjadi penghalang. Kecacatannya berbahasa langsung tidak buruk pada mata. Malah lelaki itu berbangga mengenal seorang ajam yang boleh berbahasa seperti mereka. Kemesraan seminit itu mengepakkan cintanya kepada daerah ini. Dia merasa seolah-olah seperti sebahagian daripada daerah al-Karak ini.

Hujan semakin melebat. Dingin semakin kuat. Jalan yang sudah sedia lengang kini terang dengan suluhan lampu jalan. Lampu-lampu yang berbentuk seperti tanglung bergantungan melintang sepanjang jalan.

“Mari, kita ke perut mihrab. Di dalam tentu lebih hangat daripada beranda ini. Atau, kita tekuni selembar dua al-Quran sementara menunggu hujan reda.” Lelaki tanpa tangan itu menolak tubuhnya dengan bahu penuh mesra.

Tubuh yang sudah terdorong itu tidak mampu dikeraskan lagi terus sahaja bersila bersama-sama jemaah yang lain. Jemaah lelaki yang masih beriktikaf itu membesarkan lingkaran sila dengan membuka sedikit ruang ke sebelah kanan. Seperti memberi ruang untuk mereka duduk beriringan sebelah-menyebelah. Hilang rasa walang di bumi serba baru ini.

“Yaban?” Imam yang paling berusia itu membelah sebuah ukhuwah sambil mata tuanya tajam menikam ke wajah. Dia melihat mereka bagai bersaudara. Wajah mereka yang persih dihiasi jambang dan janggut panjang santak ke pangkal dada. Dua kening mereka lebat hitam hampir membentuk satu garis bengkok. Serentak naluri jemaah yang meladeni al-Quran itu, membuku rasa ingin tahu dan sepatah perkataan itu memberi isyarat agar kalam Tuhan itu dihentikan demi meraikan seorang tetamu di rumah Tuhan.

“Maliziya.” Jawabnya juga sepatah. Dia tersipu malu dipandang begitu, lalu menghadiahkan senyuman akrab mencairkan malunya. Mendengar sepatah kata itu, mata mereka jadi sepet dengan garis kening mengerut. Hatinya pula diserkup pelik.

“Muslim.” Senyum lelaki tanpa tangan mengukir sinis menenggelamkan kesohoran Jepun di mata mereka dengan kemuliaan Islam pada iman dan takwanya. Kepelikan dan segala prasangka yang mula bersarang di hati mereka pantas menghilang. Mereka membalas senyuman itu dengan lebih akrab.

“Bacakan kepada kami kalam Tuhan.” Imam menjungkitkan kening, bahasanya bagai mahu menguji. Dia mencari restu, dan lelaki tanpa tangan mengangguk bersetuju. Bahasa tubuh lelaki itu mahu dia membuktikan bahawa kemuliaan Islam itu tidak diukur pada bangsa semata seperti dalam kerangka fikir dan bayang mereka saat ini.

Dia mengemaskan sila, runtuh gemuruh di dada, sama ragamnya dengan guruh di langit. Surah al-Baqarah itu dibaca secara tartil meminjam lenggok Syeikh Khalil Ahmad al-Khusyairi - Sumpah, bukan untuk mencari gah. Maqta’ ketiga dan keempat sedikit meninggi, dia meminjam lenggok Syeikh Muhammad Ali al-Ajami bukan kerana menyogok kebolehan diri, tetapi sekadar menghiasi al-Quran dengan suara dan lagu yang terbaik. Ah, dia pun bukanlah qari benar.

Hujan tiba-tiba berhenti. Di Jendela tiada lagi ketukan hujan bergemaratap. Hanya kabus putih merusuh di luar kaca. Kali ini, hujan melebat di jiwa dan mata mereka dan hening pun berlambakan jatuh di dada al-Quran yang berkumandang.

“Bukankah Rasul itu bangsanya Arab. Malah kalam Tuhan turun dalam bahasa Arab. Bahkan Allah muliakan bahasa Arab menjadi bahasa rasmi penghuni syurga. Namun, tanda mulia itu bukan terletak pada bangsa, walaupun kita yang pertama menerima petunjuk Tuhan.” Lelaki tanpa tangan itu bersuara lembut memecah hening sedang mata bundarnya berkaca-kaca dibias lampu chandelier yang bergantungan.

“Ya, benarlah firman Tuhan bahawa mulia bangsa itu pada takwanya. Hari ini, tidak kutahu al-Quran sudah jatuh di dada orang ajam. Mereka lebih fasih berbanding anak-anak muda kita di tanah tinggi ini.” Imam tua menyelongkar naratif sesal berbaur sebal dalam dirinya.

“Saya hanya tetamu asing, di bumi yang serba asing ini. Datang kami, demi mencari faham terhadap kalam Tuhan daripada lidah penuturnya.” Dia tersengih menampakkan baris giginya yang putih memandang mulut-mulut yang melopong di hadapannya. Barangkali teruja dengan bahasa asing yang terpacul daripada mulutnya itu.

“Ahlan wa sahlan ke bumi Syam al-Mubarak. Bumi yang diberkati radiusnya ini untuk insan-insan berkat seperti anak.” Mata mereka bersinar-sinar, lalu seorang demi seorang memeluknya dengan sepasang sayap kasih. Masing-masing memberikan ’bus’ ke pipinya berdecup-decap. Geli-geleman pipinya menahan asakan jambang yang kasar dan panjang-panjang.

“Anak-anak kami lebih berbangga belajar dan bekerja di Barat dan di Timur. Mereka lebih berahi memilih bangsa asing sebagai pasangan hidup. Mereka tidak lagi mendodoikan anak dengan puisi dan syair Arab. Mereka ketagihkan muzik dan hiburan-hiburan Barat, sedang kamu tetap berbangga mencari yakut berharga di dada kami.” Lelaki tanpa lengan itu meletakkan bola matanya bersungguh-sungguh ke wajah anak muda itu. Kerlipan matanya bagai memberi lambaian mahu mengakhiri pertemuan itu. Entah bagaimana dia langsung terlupa kepada kelibat tubuhnya itu.

“Mari, aku mahu kau dan rakan-rakan menjadi kebanggaan kami di bumi ini. La syarqiah wa la gharbiah!” Imam segera menggenggam tangannya dan memimpinnya bangun. Mereka keluar beramai-ramai dan dia tidak tahu ke mana tubuhnya itu mahu dipimpin, dalam kepalanya bergaung-gaung kata-kata imam itu.

“Ya, La syarqiah wa la gharbiah! Kita tidak berkiblatkan Barat dan tidak juga tunduk kepada Timur. Kitalah Hanif yang Muslim.” Sebaik usai melafazkan kata-kata itu semilir terus berpuput lembut menyapa wajah. Hatinya tiba-tiba menjadi sayu dan sebak. Segala macam rasa bercampur-campur. Bangga ada, rindu juga ada.

“Kalau anak ini mahu berjodohkan bangsa kita, akulah orang pertama yang menawarkan.” Imam bingkas memegang tangan kanannya dan meletakkan tangan itu di bawah ketiaknya. Dia terkedu dengan perlakuan itu dan dia sebenarnya malu diperlakukan begitu. Dia cuba berjenaka.

“Saya datang dengan niat belajar. Manalah saya ada dinar sebanyak itu untuk membina mahligai bahagia itu di bumi anbia ini.” Dia akhirnya melewakan sahaja persoalan itu dan menganggapnya usikan orang tua kepada anak muda.

Tidak sampai lima minit, mereka tiba di sebuah taman di tengah-tengah pekan. Sebuah rumah teres seakan tidak siap itu, betul-betul di sebarang jalan besar di kelilingi oleh pepohon zaitun yang menghijaukan buah zaitun di laman rumahnya. Sedang tubuh menyandar di ruang tamu tanpa sofa di rumah imam itu, mereka dihidangkan dengan qahwa marhaba, sejenis kopi pekat tanpa gula.

“Aku percaya dengan al-Quran.” Bibir tuanya masih mahu berhujah sambil saprah dihamparkan dan setalam nasi membukit dengan seekor ayam yang dibelah empat dihidang. Melihat nasi setalam itu mustahil perut mereka berempat itu mampu mengisinya.

“Andai al-Quran bertakhta di dada, apalah nilai wang dan harta. Bukan harta dan wang sahaja yang diberikan laba, bahkan maruah dan nyawa turut terbela.” Lelaki tua itu bersyiar. Mungkin sahaja syair Nabighah al-Zibyani atau Ka’ab bin Zuhair. Ah dia tak tahu.

“Bayangkan andai seorang anak gadis di dada teruna yang fasih al-Quran, maka pasti akan melahirkan cucu-cicitku yang soleh dan solehah dengan al-Quran.” Kopi pekat yang menuba tekaknya itu dirasakan begitu manis dan tekaknya kembali terasa pahit bila tersedar kelibat lelaki tanpa tangan itu, hilang daripada kumpulan kami itu.

“Mana lelaki tanpa tangan yang kita bertemu di masjid tadi?” soalnya kepada imam, lalu membalas dengan pandangan yang bercahaya.

“Apa, kamu bertemu dengan lelaki dengan sepasang sayap itu?” Jemaah yang sedang makan itu berhenti mengunyah. Dia tambah terkejut apabila mengetahui bahawa pekan itu sudah lama tidak dikunjung lelaki itu!

Hatinya bergalau, wajahnya pucat ditandai dengan istifham apabila mengetahui lelaki tanpa tangan itu, Jaafar al-Toyyar. Ah, mustahil. Mana mungkin panglima perang yang syahid dalam perang Mu’tah itu boleh berbicara dengannya.

Tiada yang mustahil di bumi syuhada ini, kata imam di penghujung petang yang semakin mendingin itu. Pertemuan itu mungkin sukar dipercayai oleh logik akal dan sukar pula ditolak. Malangnya mereka tidak menyedari kehadiran lelaki itu. Dia keliru, tetapi tidak keliru dengan segala pesan dan pertemuan itu telah menumbuhkan sepasang sayap cinta di dadanya demi menghargai nikmat Tuhan yang tidak terperi ini.

http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com/2008/06/30/sepasang-sayap-cinta/

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...