Pengurusan masa merupakan suatu elemen kehidupan yang sangat penting. Kelemahan sesorang menguruskan masa dengan efektif akan menyebabkannya mudah terjebak ke kancah kegagalan dan kekecewaan. Pengurusannya yang baik pula pastinya membuahkan natijah yang berkesan di samping memberi impak yang besar dalam kehidupan seseorang.
Bagi remaja, masa muda adalah sangat kritikal untuk disia-siakan begitu sahaja. Banyak masa diperlukan untuk mengulangkaji pelajaran, waktu bersama keluarga dan rakan-rakan, bacaan tambahan, riadah dan rehlah dan sebagainya lagi.
Salah satu ciri remaja muslim cemerlang adalah Munazzomun fi syuunihi (terurus dalam urusan hariannya). Apa yang dimaksudkan dengan terancang urusan harian adalah: ”Tersusun dalam urusannya sehingga menjadikan kehidupannya teratur dalam segala hal yang menjadi tanggung jawab dan amanahnya. Dapat menyelesaikan semua masalahnya dengan baik dengan cara yang baik.”
Di sini dikongsikan 10 Tips Pengurusan Waktu berkesan yang disunting dari petikan buku siri motivasi “Jatidiri Penggerak Perubahan”.
1. Buatlah perencanaan
Anda memerlukan perencanaan kerja harian. Kalau tidak demikian, anda akan mengalokasikan waktu menurut apa sahaja yang kebetulan tiba dimeja tulis anda. Awasilah setiap hari dengan membuat jadual umum, dengan penekanan khusus pada dua atau tiga hal yang ingin anda selesaikan. Makin banyak waktu yang kita lewatkan untuk merencanakan sesebuah projek, makin sedikit waktu total yang diperlukan untuk menyelesaikannya.
2. Pusatkan perhatian
Golongan yang menghadapi masalah serius dalam hal pengurusan waktu biasanya mencuba melakukan banyak hal sekaligus. Jumlah waktu yang digunakan dalam suatu projek bukanlah hal yang penting. Tetapi yang lebih penting ialah menyediakan jumlah waktu yang tidak terganggu.
3. Ambillah waktu rehat
Bekerja dalam tempoh yang lama tanpa rehat bukanlah penggunaan waktu yang efektif. Tenaga makin menurun, kebosanan makin mempengaruhi serta ketegangan fizikal dan mental makin terkumpul. Oeh itu, anda memerlukan masa rehat yang secukupnya kerana hanya berehat sahaja merupakan cara yang paling baik.
4. Jauhkan suasana berkecamuk
Sesetengah orang selalu membiarkan meja tulisnya dipenuhi kertas yang berselerak. Mereka merasa bahawa dengan cara itu persoalan yang penting akan naik sendiri ke atas timbunan kertas itu. Sebenarnya keadaan berkecamuk seperti ini mengganggu tumpuan serta meningkatkan ketegangan dan prestasi seperti orang yang tertimbus batu.
5. Jangan menjadi ‘perfectionist’
Ada perbezaan yang besar antara berusaha mendapat hasil yang baik dan bermati-matian mengejar kesempurnaan. Langkah yang pertama , dapat dicapai, memberi kepuasan dan sihat. Sementara langkah yang kedua, selalunya mustahil, mengakibatkan kekecewaan dan gangguan jiwa. Ia juga mengakibatkan pmbaziran waktu yang sia-sia.
6. Jangan takut mengatakan tidak
Daripada semua teknik menghemat waktu yang pernah dikembangkan, barangkali yang paling efektif ialah selalu menggunakan perkataan tidak. Belajarlah menolak dengan mengunakan kebijaksanaan tetapi tegas terhadap setiap permintaan yang tidak menunjang pencapaian sasaran anda.
7. Jangan menangguhkan kerja
Penangguhan kerja pada umumnya merupakan kebasaan yang sudah berakar umbi. Sungguhpun begitu, kita mampu mengubah kebiasaan ini asalkan kita menggunakan sistem yang tepat seperti putuskan untuk berubah segera setelah anda selesai membaca artikel ini, sementara hati anda tergerak oleh motivasinya. Mengambil langkah pertama dengan segera adalah amat penting. Seterusnya jangan mencuba terlalu banyak perkara dalam waktu yang singkat. Apa yang perlu dilakukan ialah memaksa diri melakukan pekerjaan yang sudah tertunda sekarang juga.
8. Lakukanlah bedah siasat radikal
Kegiatan membuang waktu sama seperti kanser. Ia menghabiskan tenaga dan ketumbuhan semakin besar. Satu-satunya cara penyembuhan adalah pembedahan radikal. Jika anda membuang waktu dalam kegiatan yang membuatkan anda bosan, alihkan perhatian daripadanya kerana ia mensia-siakan tenaga anda. Buanglah kegiatan ini, sekali untuk selama-lamanya.
9. Delegasikan pekerjaan
Anda tidak perlu menjadi pemimpin nasional atau eksekutif firma gergasi untuk mampu mendelegasikan pekerjaan. Belajarlah mendelegasikan tugas yang penuh cabaran dan memberikan imbalan, bersama dengan kuasa secukupnya untuk membuat keputusan yang perlu. Ini dapat membantu melonggarkan waktu anda.
10. Jangan ketagihan kerja
Hampir semua manusia berjaya mempunyai waktu bekerja yang panjang, tetapi mereka tidak membiarkan pekerjaan mengganggu hal-hal yang pentig dalam hidup mereka, seperti bergaul dengan teman-teman dan bersama keluarga. Ini membezakan mereka daripada orang yang ketagihan kerja (workaholic) yang sama tarafnya seperti orang yang ketagihan alkohol.
DEMI MASA (1) SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU BENAR-BENAR BERADA DALAM KERUGIAN (2) KECUALI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN MENGERJAKAN AMAL SOLEH DAN NASIHAT MENASIHATI SUPAYA MENAATI KEBENARAN DAN NASIHAT MENASIHATI SUPAYA MENETAPI KESABARAN (3)
[103:1-3]
*Artikel dipetik daripada Blog KRIM Terengganu