السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PENDAHULUAN
Internet ini macam pisau. Yang tidak tahu gunakan pisau mungkin akan cederakan diri sendiri dan oranglain. Sejak dari tahun 1999 dulu telah berlegar melalui e-mel di Internet satu berita gempar gambar syaitan di Gua Hira'. Kemudian sebahagian orang Islam jadi seronok sangat lalu turut sebar-luaskan gambar tersebut.
Kemudian muncul pula berita ini:
"Saudaraku yang dikasihi, saya seorang Muslim-Turki dari Istanbul. Saya hantar e-mel ini kepada anda kisah sebenar gambar jin "bohong" yang tersebar di internet. Saya tangkap gambar makhluk gua yang terkenal ini sambil memegang kakinya di sebuah pameran gua berhampiran Bristol, England! Ia BUKAN syaitan, atau jin, atau makhluk pelik. Ia hanyalah satu ukiran bodoh dibuat menggunakan plastik keras untuk menarik pelancong dan tujuan suka-suka. Masyarakat Muslim sedunia percaya pada jenaka bodoh ini bertahun-tahun. Saya menyelidik latarbelakang dongeng internet ini selama setahun dan saya temui kebenaran pada Disember lepas.
- ALI MURAT GUVEN -
PERSOALAN:
Adakah setelah orang yang perkenalkan dirinya Ali Murat Guven ini hantar 'berita benar' Syaitan Gua Hira' barulah orang-orang Islam rasa tertipu? Mengapa tidak sebelumnya? Mengapa harus tunggu Ali Murat Guven hantar gambar dia bersama patung itu barulah percaya kisah Syaitan Gua Hira' hanyalah satu pembohongan? Siapakah Ali Murat Guven? Memang bagus dia 'bongkar' hal itu. Tapi kita juga perlu fikir mungkin Ali Murat Guven inilah yang sebarkan e-mel Syaitan Gua Hira' pada tahun 1999 itu. Kita bukan sangka buruk, tapi di zaman fitnah ini, kemungkinan memang ada..
POKOK PERSOALAN:
Bila kita lihat gambar Syaitan Di Gua Hira' ini untuk pertama kali, tahukah kita Gua Hira' itu apa? Ia adalah tempat Nabi Muhammad SAW berkhalwat (bertapa, bertahannuth). Baginda melakukan ibadat di situ pada sekitar tahun 608-609 Masehi, atau 15-14 Sebelum Hijrah, iaitu ketika berusia 38-39 tahun.
Ketika usia Nabi SAW menjelang 40 tahun, tanda-tanda kenabian Baginda mulai muncul satu persatu. Baginda sering nampak cahaya bersinar di waktu malam atau mendengar suara tapi tidak nampak sesiapa. Baginda juga mula punya kesukaan baru, iaitu menyendiri di sebuah gua yang dulunya merupakan tempat khalwat datuk yang disayangi, Abdul Mutalib. Gua Hira' yang berada di Jabal Nur berada agak jauh dari Kota Makkah.
Baginda pergi ke Gua Hira' dengan membawa bekalan makanan dan air, dan gunakan masa di gua itu dengan beribadah menurut ajaran Nabi Ibrahim Khalilullah iaitu dengan tafakkur. Kemudian dari gua itu Baginda boleh melihat Ka'abah dengan jelas kerana pintu gua menghadap ke arah Ka'abah.
Hati Baginda risau melihat kaum Arab yang tersesat mensekutukan Tuhan dan menyembah berhala. Sebenarnya sejak kecil lagi Baginda sangat benci pada apa yang dilakukan oleh bangsanya, dan inilah antara sebab Baginda memilih untuk hidup menyendiri. Sebenarnya bukan hanya Baginda yang resah dengan keadaan itu. Ada beberapa orang dari bangsa Quraisy yang juga tidak setuju dengan cara sembahyang kaumnya lalu tetap memegang ajaran asli (agama Hanif) Nabi Ibrahim Khalilullah. Ini termasuk Waraqah bin Naufal, bapa saudara Siti Khadijah, yang memilih menganut agama Nasrani, dan menunggu kemunculan Nabi terakhir. Juga seorang yang bernama Zaid bin Amr Al-Adawi.
Bukan hanya pada hari-hari biasa Nabi menyendiri di Gua Hira'. Pada bulan Ramadhan, Baginda jarang pulang ke rumah hinggakan Siti Khadijah menjenguk Baginda sambil membawakan bekal makanan untuk suami tercinta. Hal ini telah diaturkan oleh Allah SWT ke atas Baginda sejak 3 tahun menjelang pengutusan jadi Rasul, sebagai persiapan untuk memikul amanah terbesar, menggalas beban dakwah, merubah wajah dunia dan kembali meluruskan garis sejarah.
TUJUAN PENYEBARAN GAMBAR PALSU
Maka jelaslah bahawa tujuan gambar palsu Syaitan Gua Hira' itu disebar-luaskan tidak lain dan tidak bukan kerana dengki pada Rasulullah SAW dan dengki pada Islam..! Secara halus, mereka yang tidak bertanggungjawab itu hendak menimbulkan was-was di kalangan umat Islam: "Ada syaitan di Gua Hira'? Bukankah Gua Hira' merupakan tempat Rasulullah SAW menerima wahyu pertama menerusi Jibril AS?"...
Maka inilah antara kuncu-kuncu yang menyokong gagasan "The Satanic Verses" oleh Salman Rushdie. Mereka ini mahu canangkan kepada dunia Islam bahawa yang datang kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira' adalah syaitan, bukan Jibril AS, kerana (dibuktikan menerusi gambar palsu) syaitan ada di Gua Hira', siap boleh diambil gambar..!
KESIMPULAN
Walaupun ini kisah lama, dan ramai orang sudah tahu apa yang sebenarnya berlaku, namun pada hemat saya elok ditimbulkan semula sebagai kiasan pada banyak perkara lain, dan sebagai bahan renungan untuk muhasabah diri. Elakkan diri kita dari percaya bulat-bulat apa yang tersebar di internet ini, kerana ia mungkin hanya satu tipu-helah untuk merosakkan Islam atau memecah-belahkan umat Islam, direka dan disebarkan oleh musuh-musuh Islam yang tidak senang dengan perpaduan umat Islam dan betapa bagusnya budi pekerti orang-orang Islam. Maka janganlah kita mudah terpedaya di zaman fitnah ini.
والله اعلم بالصواب
Susunan: Hibatullah Yusof Al-Haj
No comments:
Post a Comment